Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ombak Perubahan: Sri Lanka masih bergelut pulih, penuhi bekalan rumah untuk mangsa tsunami

Tsunami yang melanda Lautan Hindi pada 2004 telah memusnahkan kira-kira 139,000 buah rumah di lebih 10 negara.

Anggaran Waktu Membaca:
SRI LANKA: Tsunami yang melanda Lautan Hindi pada 2004 telah memusnahkan kira-kira 139,000 buah rumah di lebih 10 negara.

Di Sri Lanka, projek perumahan yang dibangunkan untuk mangsa tsunami hanya diserahkan kepada para penerimanya, 15 tahun selepas ia selesai dibina.

Ibu kota Sri Lanka, Colombo terletak di pantai barat dan terselamat daripada kemusnahan yang menimpa akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda, 20 tahun lalu.

Pada 26 Disember 2004, pantai timur dan selatan Sri Lanka dibadai tsunami yang tercetus akibat gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter, yang berjarak lebih 1,700 kilometer di pulau Sumatera, Indonesia.

Ia mengambil masa kira-kira dua jam untuk gelombang tsunami tiba di Sri Lanka, meragut nyawa lebih 30,000.

GELOMBANG TSUNAMI CETUS TRAGEDI KERETA API PALING BURUK DI SRI LANKA

Bencana itu juga menyebabkan tragedi kereta api terburuk dalam sejarah.

Kereta api itu terpaksa berhenti di kampung Peraliy apabila landasan ditenggelami air berikutan gelombang tsunami pertama.

Kemudian, ombak kedua dan yang lebih besar melanda kawasan pantai, sekali gus menghempas kereta api berkenaan.

Air mula membanjiri gerabak yang penuh sesak dan para penumpang mula panik apabila paras air meningkat.

Ramai yang cuba memanjat ke atas bumbung.

Beberapa minit kemudian, gelombang ketiga dan terbesar melanda, menghanyutkan gerabak dan menenggelamkan ramai penumpang yang masih terperangkap.


Penduduk yang tinggal di rumah-rumah setinggan berhampiran pantai,adalah yang paling teruk terjejas oleh tsunami.

Lebih 80,000 rumah musnah dan lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal di Sri Lanka.

Lantas, membina semula rumah adalah salah satu keperluan paling mendesak dalam proses pembinaan semula.

Kompleks perumahan di Seenigama di pantai selatan Sri Lanka adalah hasil sumbangan wilayah Victoria di Australia.

"Saya dan keluarga saya diberi rumah ini. Pada masa itu, ia seperti mendapat sebuah istana, kerana sebelum ini, kami menumpang di rumah orang lain.

"Oleh itu, apabila kami diberi rumah ini, kami berasa sangat gembira. Ia seperti kami menerima istana terbaik di dunia," kata Thuiyahandi Champa Samanmali, seorang mangsa tsunami dan penerima manfaat projek tersebut.

Namun, tidak semua projek perumahan berjaya.

"Kami berharap untuk mendapatkan rumah. Mereka masih belum lagi memberikan kami rumah itu.

"Walaupun selepas 20 tahun, mereka tidak memberikan kami rumah Sepanjang 20 tahun ini, anak-anak saya banyak menderita. Keadaan kami masih seperti ini hari ini," kata Hameeda yang merupakan seorang penerima skim perumahan di Norochcholai di daerah Ampara, iaitu salah satu kawasan yang paling teruk dilanda tsunami.

Awal tahun ini, kru CNA mengunjungi kompleks perumahan Norochcholai berdekatan sebuah ladang tebu terpencil dan terpaksa membuat penggambaran secara tersembunyi kerana sensitiviti.

Terdapat 500 rumah di kompleks yang dibiayai kerajaan Arab Saudi pada 2009 untuk membantu keluarga-keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat tsunami 2004.

Pengagihan rumah-rumah itu digantung oleh mahkamah atas sebab politik perkauman.

Hanya Oktober lalu, pihak berkuasa Sri Lanka akhirnya mengeluarkan arahan untuk menyerahkan rumah-rumah tersebut kepada para penerima yang layak.

"Analisis impak sosial adalah perkara penting bila anda pergi ke sesebuah Kawasan.

"Jika anda akan memulakan projek, anda harus memahami budaya, kepelbagaian dan sifat kawasan itu.

"Jadi, ketelusan dan interaksi seumpama itu tidak berlaku. Tiba-tiba terdapat projek besar di sesebuah kawasan, dan timbul keraguan di kalangan orang ramai.

"Kerana, di Sri Lanka ini, politik pasca perang sangat dicemari politik berdasarkan kaum," kata Ahli Majlis Perbandaran Akkaraipattu, Siraj Mashoor.

Pertubuhan sivil ‘Foundation of Goodness’ cuba menjauhkan diri daripada politik perkauman dan sebaliknya memberikan bantuan sama rata kepada semua pihak.

Sejak tsunami melanda, yayasan itu sudah bantu membina sekitar 1,000 rumah yang dibiayai oleh penderma.

Kushil, yang merupakan pengasasnya berkata gelombang kemusnahan tsunami disusuli gelombang ihsan oleh masyarakat tempatan dan luar negara yang menderma dengan murah hati.

"Apabila seseorang memberi tanpa syarat, mereka tidak mengharapkan apa-apa balasan.

"Namun kami tetap akan memberitahu mereka apa yang kami lakukan dengan sumbangan mereka. Itu satu hal.

"Sebaliknya, apabila seseorang mengharapkan kami melaksanakan sesuatu, kami laksanakannya melebihi jangkaan.

"Ia adalah wang orang lain, maka itu perlu pastikan tanggungjawab kami berada di tahap yang berbeza,' kata Pengasas Foundation of Goodness, Kushil Gunasekera.

Tsunami yang melanda Lautan Hindi pada 2004 merupakan satu peringatan - bukan sahaja untuk negara-negara yang terjejas oleh bencana itu tetapi juga untuk masyarakat di seluruh dunia.
Sumber : CNA/IQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan