Skip to main content

Dunia

Ombak Perubahan: Sehingga 10,000 orang dijangka sertai upacara peringatan 20 tahun tsunami Aceh pada 26 Dis

Anggaran Waktu Membaca:

BANDA ACEH: Esok (26 Dis) genap 20 tahun tragedi tsunami dahsyat yang melanda Lautan Hindi pada 2004, mengorbankan 230,000 nyawa di 14 negara, termasuk India, Sri Lanka, Thailand, dan Indonesia.

Wilayah Aceh menjadi kawasan paling teruk terjejas, dengan 130,000 nyawa terkorban, 38,000 dilaporkan hilang, dan setengah juta penduduk kehilangan tempat tinggal.

Bagi memperingati detik hitam itu, satu upacara peringatan akan diadakan di Masjid Raya Baiturrahman di Banda Aceh. 

Ia menjadi acara kemuncak memperingati ulang tahun ke-20 bencana tersebut.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Pelbagai aktiviti turut dianjurkan beberapa hari sebelum itu, termasuk festival kopi yang menjejak kebangkitan Aceh dan program gotong-royong membersihkan masjid.

Acara kerohanian juga diadakan untuk mengajak masyarakat merenung pengajaran berharga daripada peristiwa itu.

SEHINGGA 10,000 HADIRIN DIJANGKA SERTAI UPACARA PERINGATAN TSUNAMI

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Upacara peringatan itu dijangka menarik kehadiran antara 6,000 hingga 10,000 orang ke Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh, esok.

Menurut penyelenggara acara, Encik Muhammad Balia, upacara tersebut akan dihadiri oleh tokoh-tokoh negara, pemimpin Aceh, serta wakil dari lima negara yang pernah membantu wilayah itu selepas bencana tsunami. 

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Anggota masyarakat juga dijangka hadir.

"Kali ini, duta besar turut diundang dan akan diberikan penghargaan atas bantuan yang telah diberikan semasa tsunami. Tahun ini, jemputan lebih ramai. Oleh itu, segala persiapan sesuai dengan suasana ini difokuskan di Masjid Raya Baiturrahman kerana masjid ini juga masjid peninggalan tsunami dan juga yang sangat dikenali di Aceh," menurut penyelenggara acara, Encik Muhammad Balia.

PENGUNJUNG INGIN HADIR ACARA, PERINGATI MANGSA TSUNAMI

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Ramai pengunjung menyatakan keinginan mereka untuk menghadiri acara peringatan itu

Cik Mutiara Afendi, seorang pengunjung yang ditemui di kawasan masjid, berkongsi bahawa dia mahu menyertai acara itu bersama keluarganya.

"Saya dilahirkan di sini, namun jarang berkunjung ke sini. Ada kesempatan cuti panjang, saya bawa keluarga ke sini untuk memperingati. Kami juga baru sahaja dari muzium untuk melihat kisah seperti apa yang berlaku 20 tahun yang lalu," katanya.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Seorang lagi pengunjung, Encik Helmiadi, turut meluahkan hasratnya untuk menghadiri acara peringatan sebagai tanda penghormatan kepada mangsa tsunami.

"Kita semua sering tahu bahawa tsunami itu dahsyat dan banyak terkorban. Kebetulan salah satu keluarga saya juga menjadi korban di sini, jadi saya ingin memperingatinya," kata beliau.

Acara peringatan itu bukan sahaja menjadi peluang untuk mengimbas tragedi lalu, tetapi juga untuk menghargai kekuatan dan semangat masyarakat Aceh yang bangkit daripada musibah.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita