Skip to main content

Dunia

Ombak Perubahan: Pesakit, kakitangan hospital di Meulaboh hargai bantuan dari SG, dapat dimanfaatkan sehingga hari ini

Anggaran Waktu Membaca:

MEULABOH: Selepas tsunami melanda Aceh dua dekad yang lalu, banyak negara menghulurkan bantuan termasuk Singapura. 

Selain unit Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Home Team termasuk Pasukan Pertahanan Awam Singapura, ada juga badan-badan kemanusiaan dan individu yang tampil untuk meringankan beban. 

Ada juga yang menyediakan bantuan perubatan serta proses pemulihan untuk memperkukuh khidmat jagaan kesihatan di sana.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Ini termasuk di Hospital Cut Nyak Dhien di Meulaboh yang pada ketika itu menghadapi cabaran dari segi kakitangan dan peralatan perubatan. 

Antara yang meraih manfaat daripadanya termasuk Encik Muslem Sihombing, 71 tahun. 

Meskipun sudah dua dekad berlalu, rasa kehilangan masih perit ditanggungnya.

Dalam sekelip mata, beliau kehilangan tujuh anggota keluarga. 

Ini termasuk isteri dan dua orang anaknya yang hilang ditelan gelombang tsunami yang dahsyat. 

MANGSA TSUNAMI DAPAT RAWATAN DI HOSPITAL CUT NYAK DHIEN MEULABOH

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Encik Muslem mujur terselamat tetapi alami kecederaan parah dan mendapat rawatan di Hospital Cut Nyak Dhien Meulaboh. 

Ketika tsunami itu melanda, sebuah kereta melanggarnya dan menyebabkannya tersepit di antara kereta itu dan tiang masjid.

"(Saya) tersepit di antara kereta dan tiang masjid. Di sini (kaki) koyak ('robek'). Saya hanyut lagi. Ini sudah susah untuk bernafas. Saya berdoa, ya Allah kalau ini memang sudah takdir saya, saya menerimanya tetapi tolong ampuni dosa saya," kongsi Encik Muslem kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

PESAKIT DATANG BERTALI ARUS, KEADAAN JADI HURU-HARA

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Meskipun bangunan hospital masih utuh dan tidak terjejas oleh badai tsunami, jumlah pesakit yang bertali arus dibawa ke hospital itu untuk mendapatkan rawatan selepas tsunami membuatkan operasi mereka tidak keruan. 

Menjadikannya lebih mencabar lagi, hospital di Meulaboh itu kekurangan kakitangan dan peralatan perubatan.

"Banyak juga yang cedera, yang terkena paku, yang terkena zink pada saat itu. Jadi setelah dari sana, paginya baru menuju Hospital Cut Nyak Dhien. Sampai di sini sudah dibanjiri orang. Jadi memang betul-betul darurat," ujar Encik Muslem.

"Jadi kalau waktu itu memang betul-betul huru-hara sekali. Jadi semua memerlukan pertolongan. Jadi justeru, (kes) yang paling berat dahulu yang menjadi keutamaan," tambahnya. 

PERALATAN HOSPITAL TIDAK BERFUNGSI, TERIMA BANTUAN DARI SG

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Wartawan Nazirah Jamzuri juga bertemu mantan Pengarah Hospital Cut Nyak Dhien, Dr Haris Marta Saputra yang menceritakan tentang keadaan di hospital itu sebaik sahaja tsunami melanda pada 2004. 

"Banyak yang tidak berfungsi lagi seperti tong oksigen yang jatuh. Jadi sebahagian ada yang pecah kepalanya. Jadi itu yang membuat kita kesusahan. Jadi kerana tsunami banyak yang memerlukan oksigen, waktu itu jumlah tabung oksigen memang sedikit," menurut Dr Haris.

Mujur bantuan datang segera termasuk dari Singapura. 

Dr Haris masih ingat lagi bantuan yang dihulurkan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Palang Merah Singapura (SRC) dan Mercy Relief.

Selain bantuan perubatan, pasukan Singapura turut menyediakan latihan untuk jururawat di sana.

"Jadi bukan hanya bantuan tenaga bahkan ubat-ubatan juga. Kemudian juga bantuan tenaga kerja, tentang latihan-latihan ketrampilan untuk jururawat kita di sini. Terakhir, baru setelah (keadaan) sudah stabil, baru mereka (SRC) membantu dari segi bangunannya," ujar Dr Haris. 

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Malah, ada juga bahagian hospital yang dibangunkan semula SRC. 

"Saat itu juga untuk penggunaan ventilator sendiri harus ada oksigen. Kita tidak mempunyai oksigen, cuma tong-tongnya," menurut Cik Endang Prihatin, jururawat di hospital itu.  

"Ventilator itu tidak dapat berfungsi. Hanya teman-teman tentera Singapura itu yang berada di sini, bantu merawat luka seperti itu," tambah beliau. 

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Pengarah Hospital Cut Nyak Dhien, Dr Ilum Anam turut menghargai jasa warga Singapura yang membangunkan semula bangunan hospital menerusi SRC. 

"Memang bangunan itu diganti semuanya. Bermula dari 'rawat inap' atau wad pesakit, 'rawat jalan' atau bangunan untuk rawatan pesakit luar, makmal, dan bangunan radiologi. Itu semua bangunan Palang Merah Singapura (SRC)," kongsi Dr Ilum. 

BANGUNAN TAHAN GEMPA DI HOSPITAL DIREKA JURUBINA SG

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Istimewanya, struktur bangunan yang didirikan semula oleh SRC itu tahan gempar.

Ini bagi memastikan bangunan itu tidak mudah roboh sekiranya gempa berlaku. 

Menurut Dr Haris, ia direka khas oleh jurubina dari Singapura. 

"Arkitek dari Singapura yang membuat rekaan tahan gempa dan rekaan mereka katanya seperti gempa kelmarin yang terjadi, mudah-mudahan ia tidak roboh," kongsi Dr Haris.  

"Strukturnya dengan dinding-dinding bahagian dalam itu tidak memakai bahan simen, tidak memakai bahan batu-bata. Jadi kalau nanti ia roboh, ia tidak mencederakan orang yang ada di ruangan tersebut," tambahnya.

Para jurutera sebaliknya menggunakan konkrit bagi struktur bangunan dan bahan besi yang ringan bagi atap bangunan untuk mengurangkan kerosakan bila terjadinya bencana. 

Sumbangan dan sokongan yang disediakan Singapura tetap dihargai dan masih dapat dimaanfatkan penduduk Aceh sehingga hari ini biarpun tragedi itu sudah dua dekad berlalu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita