Skip to main content

Dunia

Ombak Perubahan: Pengasuh rumah anak yatim yang dibangunkan badan SG, hargai jasa para dermawan & bangga lihat kejayaan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Akibat tsunami, ramai yang kehilangan keluarga, ramai juga kanak-kanak yang menjadi anak yatim. 

Sehingga 150,000 kanak-kanak di Aceh dan Sumatra Utara menjadi anak yatim akibat bencana alam itu. 

Lebih parah lagi, banyak rumah anak yatim dan sekolah ranap, ditumbangkan pukulan ombak tsunami.

RUMAH ANAK YATIM MAINKAN PERANAN PENTING PASCA TSUNAMI 

Related article image
Gambar: Isra Saputra

Bagi membantu mengatasi isu ini, beberapa rumah anak yatim segara dibangunkan semula termasuk Panti Asuhan Muhammadiyah. 

Ini menerusi sokongan badan kemanusiaan di Singapura.

Ia menjadi antara tempat berteduh untuk anak-anak yatim itu dan memainkan peranan penting untuk mengisi kekosongan dan bantu kanak-kanak ini meneruskan kehidupan dan tangani trauma pasca bencana. 

"Dari wajah mereka memang kelihatan ini kelihatan baru kena musibah. Memang ada yang kehilangan orang tua, ada yang kehilangan sanak saudara mereka. Jadi di sinilah tempat mereka. Paling tidak, kami ingin menghiburkan mereka," kongsi  Pengasuh Panti Asuhan Muhammadiyah, Isra Saputra, kepada wartawan Nazirah Jamzuri. 

MERCY RELIEF BANGUNKAN PANTI ASUHAN MUHAMMADIYAH UNTUK KANAK-KANAK PEREMPUAN PASCA TSUNAMI 

Daripada sebidang tanah lapang, sebuah bangunan didirikan oleh badan kemanusiaan Singapura, Mercy Relief empat bulan setelah tsunami membadai Aceh. 

Bangunannya juga direka oleh jurubina mapan dari Singapura, Tay Kheng Soon. 

Encik Tay dikenali sebagai jurubina yang mereka Golden Mile Complex dan People’s Park Complex. 

Rumah anak yatim baharu itu dikhususkan untuk kanak-kanak perempuan kerana sudah terdapat beberapa rumah anak yatim lelaki di kawasan ini.

"Mereka (Mercy Relief) berinisiatif ingin membangun Panti Asuhan untuk puteri, biar lengkap. Baik dari tempat tinggal dan ruang solat, mereka memperbaiki yang lebih baik. Di sekolah yang mereka bangunkan juga ada tingkat duanya dan bawahnya juga," kongsi Encik Isra. 

"Jadi anak-anak yang datang ke sini itu senang kerana tinggal di rumah tumpangan itu bukan tempat yang terasing. Rupanya memang indah tempatnya," tambah beliau.

Malah, menurutnya ia juga membawa perubahan positif dari segi mental kanak-kanak itu. 

"Jadi yang awalnya ketika pasca gempa dan tsunami itu, (mereka) berasa tergoncang dari segi mental kerana mereka terkejut. Ada yang keluarganya terkorban, orang tuanya meninggal dunia. Ketika mereka datang ke sini, mereka senyum kembali," ujar Encik Isra. 

Rumah anak yatim itu dapat menempatkan sekitar 60 kanak-kanak dalam satu-satu masa. 

Usaha itu dapat direalisasikan dengan dana sumbangan para dermawan dari Singapura. 

KOS BANGUNKAN RUMAH ANAK YATIM ADALAH S$480,000

Related article image

Menurut Mercy Relief, kos untuk membangunkan semula rumah anak yatim ini adalah sekitar S$480,000. 

S$300,000 daripadanya digunakan untuk membeli perabot mahupun keperluan kanak-kanak bersekolah pada ketika itu.

Encik Isra yang sudah menganggap dirinya sebagai 'orang tua' anak-anak di sini turut bangga melihat pencapaian mereka.
 

Related article image
(Gambar: Isra Saputra)

Berkat sumbangan orang Singapura dan kesungguhan para pegawai, anak-anak yatim di sini baginya, dapat diasuh dan menerima pendidikan yang baik sehingga mencapai kejayaan masing-masing. 

"Alhamdulillah, anak-anak kita semua sudah berhasil semua. Atas usaha mereka, ada yang menjadi pegawai negara kakitangan awam. Ada juga pengusaha. Alhamdulillah, mereka sudah berjaya semua," menurut Encik Isra. 

Selain dari Meulaboh, ada juga anak yatim yang datang dari Aceh Utara dan Medan. 

Lebih dari sekadar tempat berteduh, Panti Asuhan Muhammadiyah yang dibangunkan Mercy Relief itu juga membawa sinar harapan untuk menerangi masa depan mereka.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita