Skip to main content

Dunia

Ombak Perubahan: 2 usahawanita Aceh ini kongsi kisah kebangkitan & kecekalan selepas tsunami

Anggaran Waktu Membaca:

BANDA ACEH: Sewaktu gelombang COVID mereda, Cik Qurrata Ayuni memberanikan diri untuk membuka kafe Morning Mama ini pada Mac 2023. 

Waktu itu, tidak ramai usahawanita dalam industri yang didominasi kaum Adam di Aceh.

"Biasanya kalau di Banda Aceh pada tahun tersebut masih belum ada kedai kopi yang memang buka dari pagi. Biasanya mereka buka siang dan belum ada makanan," kongsi pemilik Morning Mama, Qurrata Ayuni kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Saya juga ingin kafe saya itu nyaman, tanpa asap rokok dan juga ada wifi, dan juga dari pagi sudah ada makanan kerana susah sangat di Banda Aceh untuk menemukan kafe yang lengkap seperti itu," tambahnya. 

KEHILANGAN KELUARGA TERSAYANG DI LAMPUUK

Related article image
(Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Namun di sebalik semangat wanita 28 tahun ini, tersingkap sebuah kisah perit.

Semasa tsunami melanda dua dekad lalu, beliau kehilangan seluruh anggota keluarganya di Lampuuk. 

Qurrata Ayuni yang ketika itu tinggal di rumah makciknya di Banda Aceh terselamat. 

Related article image
Cik Qurrata bersama arwah ibunya. (Gambar: Qurrata Ayuni)

"Makcik saya iaitu adik ayah saya memutuskan untuk kita balik sahaja ke rumah di kota itu. Mungkin dari situ, saya mengalami trauma kerana anak kecil berusia lapan tahun melihat mayat, apalagi bangunan rosak dan orang-orang yang sudah di atas rumah yang rambutnya itu sudah banyak lumpur. Jadi sepertinya agak terkejut. Saya kehilangan ayah, ibu, adik dan juga nenek," ujar beliau yang kini berusia 28 tahun. 

BUKA KAFE, AMBIL WANITA KERJA, HAPUSKAN STIGMA TERHADAP WANITA

Related article image
(Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Beliau cuba mengalih kesedihannya dan mencari kekuatan sehingga berjaya menuntut ke menara gading. 

"Di situ baru meledak, kenapa saya menjadi sendirian begitu. Cuma akhirnya, cara saya melepaskan segala emosi itu dengan fotografi. Dari fotografi itu, baru ternyata kita boleh melepaskan segala emosi yang saya pendam dari kecil lagi," dedah Cik Qurrata.

Kecekalan itu juga memberinya kekuatan untuk melawan diskriminasi di Aceh.

"Kalau di Banda Aceh ini orang-orang memandang rendah perempuan yang menjalankan sebuah perusahaan kerana mereka menganggap kita tidak boleh lakukannya, seperti membuka kedai kopi. Malah teman perempuan sendiri juga memandang rendah," menurut Cik Qurrata. 

"Kalau selama ini, perempuan tidak boleh kerja, perempuan harus di rumah sahaja, saya ingin memecahkan stigma itu. Jadi perempuan boleh kerja, perempuan mempunyai tempat kerja. Jadi tidak harus berada di rumah sahaja, apa lagi sekarang sudah banyak pekerjaan 'remote, atau dari jauh. Jangan membatasi diri sendiri. Kita mempunyai peluang yang sangat banyak untuk bekerja." tambah beliau. 

FAUZIAH BASYARIAH DAN ANAK-ANAK DISELAMATKAN KAPAL

Related article image
(Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Bagi seorang lagi wanita yang berjaya menongkah arus ialah Cik Fauziah Basyariah. 

Beliau dan anak-anaknya antara 59 penduduk yang diselamatkan Kapal Tsunami Lampulo. 

Malangnya, Cik Fauziah kehilangan suami kepada gelombang tsunami 20 tahun yang lalu.

Beliau terkenang saat-saat terakhir bersama suaminya.

"Ayah anak-anak saya meminta izin keluar dan pada saat itu saya juga minta maaf dengan dengan ayah anak-anak saya. Saya bilang, 'Bang, maafkan saya,  mungkin nanti kita tidak berjumpa lagi.' Firasat saya sudah seperti itu. Saya tidak jumpa lagi suami," menurut Cik Fauziah yang sebak apabila menceritakan kisah itu kepada wartawan Nazirah Jamzuri.  

SARA KEHIDUPAN KELUARGA TANPA SUAMI PASCA TSUNAMI

Related article image
(Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Setelah kehilangan suami, Cik Fauziah terpaksa memikirkan cara untuk sara kehidupan lima anaknya.

Beliau bertekad mendapatkan latihan dan bekerjasama dengan pelbagai pihak
sehingga dapat berniaga produknya sendiri iaitu Ikan Kayu Cap Kapal Tsunami.

"Ikan Kayu adalah salah satu makanan ciri khas orang Aceh. Jadi kami setiap hari memasak untuk pelanggan-pelanggan yang datang ke tempat wisata ini. Jadi kita siapkan ini kalau masak hampir dua hari kerana hasilnya harus tanak betul sampai hitam," kongsi Cik Fauziah.

"Dulu, semenjak zaman Belanda memang ikan kayu ini dibawa untuk bekal berperang, dibawa ke dalam hutan karena ia lebih tahan lama. Jadi kita orang Aceh, rata-rata semua suka ikan kayu, jadi kita utamakan dulu untuk orang tempatan," tambahnya. 

Ikan kayu juga bertahan lama dengan bahan yang digunakan. 

"Ini tahan lama. Kalau sudah hitam, sudah seperti dikemas dalam botol, itu sudah tahan sampai lebih enam bulan. Masaknya dengan api yang tidak besar, kemudian sampai hitam dan tanak betul, kemudian kita tidak pakai pengawet, cuma kita pakai banyak minyak sahaja," menurutnya.

PRODUK CAP KAPAL TSUNAMI TARIK PERHATIAN PELANCONG

Berkat usahanya, produk Cik Fauziah
menarik perhatian pelancong antaranya Malaysia, Singapura dan sejauh Belanda. 

Sebelum COVID-19, produk Cik Fauziah turut dieksport ke Malaysia.

Ia juga popular ditempah jemaah haji Aceh. 

"Kita bersyukur Alhamdulillah lebih kurang ada 30 juta rupiah (S$2,500 setiap bulan). Jadi kita boleh hidupkan anak-anak. Saya sudah hantar mereka ke sekolah, anak-anak sudah kuliah sampai selesai kuliah, mereka kahwin," kongsi Cik Fauziah. 

Menerusi produknya itu, beliau berharap orang ramai dan keturunan akan tahu tentang kisah kapal tsunami itu. 

"Ini salah satu makanan ciri khas Aceh. Mereka (pengunjung) juga cari kalau yang lain-lain sudah ada tempat sendiri. Apa ciri khas, pasti mereka cari di tempat mereka wisatakan? Jadi saya buat kapal tsunami itu karena memang saya selamat dalam kapal itu. Jadi boleh nanti keturunan saya dapat tahu tentang cerita kapal tsunami itu. Jadi mereka tahu nanti kenapa membuat cap kapal tsunami," jelas Cik Fauziah. 

Related article image
(Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Meskipun gelora di jiwanya sudah mereda, parut tsunami masih kekal di relung hatinya. 

"Kalau ke laut itu, saya masih trauma. Saya tidak pernah mandi laut, masih sangat trauma. Apalagi waktu datang gelombang itu, rasanya kaki saya ngilu. Saya berdiri di pinggir sahaja, saya sudah ngilu," dedah Cik Fauziah. 

Biarpun perit kehilangan orang tercinta masih ditanggung dua wanita ini, kecekalan dan tekad mereka memastikan - tsunami membawa ombak perubahan yang positif dalam diri dan orang-orang di sekeliling mereka. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita