Skip to main content

Dunia

OldTown White Coffee perkenal menu sihat

Anggaran Waktu Membaca:
OldTown White Coffee perkenal menu sihat

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 15 May 2023 09:55PM Dikemas Kini : 15 May 2023 09:57PM
PETALING JAYA: OldTown White Coffee memperkenalkan 11 makanan dan enam minuman berasaskan menu sihat sebagai pilihan baru buat pelanggan mereka bermula Isnin (15 Mei).

Ketua Penjenamaan dan Pemasaran Kopitiam Asia Pacific Sdn Bhd Eda Hayati Ariffin berkata menu sihat yang bakal diperkenalkan itu memberi ruang untuk penggemar makanan kopitiam yang ingin mencari menu alternatif.

Beliau berkata menu sihat yang diperkenalkan menggunakan ayam dan telur yang berasaskan tumbuhan, manakala minuman pula menggunakan susu bijirin.

“Menu ini diperkenalkan selepas menyedari trend pengguna hari ini yang lebih menggemari makanan dan minuman yang lebih sihat."

"Kami juga mahu memastikan menu ini dapat memenuhi keperluan setiap individu yang berkunjung ke OldTown White Coffee bukan sahaja bagi mereka yang sudah berkeluarga, bahkan mereka yang menjaga diet pemakanan."

“Penggunaan ayam yang berasaskan tumbuhan yang tinggi dengan serat dan telur OnlyEg yang bebas kolesterol, kaya dengan protein, tanpa pewarna dan perisa sesuai untuk mereka yang mengamalkan diet vegetarian,” katanya kepada Bernama.

Cik Eda Hayati berkata bagi minuman pula, susu bijirin digunakan bagi menggantikan produk tenusu untuk memberi alternatif buat mereka yang intoleransi laktosa menikmati minuman istimewa dan sensasi rasa seakan sama dengan minuman sedia ada.

Sebelas menu makanan yang akan diperkenalkan iaitu BBQ Dry Curry Egg Noodles, BBQ Dry Egg Noodles, BBQ Egg Noodles Soup, BBQ Rice Bowl, Hainanese Chick’n Chop Rice, OldTown Nasi Lemak with Chick’n Curry dan Ginger Chick’n Steamed Rice serta Chick’n Popcorn Bites yang terdapat tiga pilihan.

Bagi kesemua menu makanan itu, pelanggan juga boleh menambah hidangan sampingan OnlyEg sama ada digoreng atau dikukus.

Bagi minuman pula, enam pilihan yang disediakan iaitu White Coffee Latte, Mocha Cookie Crumble, Black Sesame White Coffee, Coconut Candy White Coffee Latte, OldTown Enriched Chocolate dan Gula Melaka Milk Tea with Oat Milk.

“Apa yang lebih menarik, harga makanan dan minuman yang ditawarkan ini tidak jauh beza daripada menu sedia ada selain memberi nilai tambah apabila pelanggan dapat menikmati makanan sihat pada harga berpatutan,” katanya.
Sumber : Bernama/AE/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita