Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nyamuk kebal racun serangga ancam Asia

Spesies nyamuk yang menyebarkan jangkitan denggi serta virus lain dikesan mempunyai daya tahan tinggi terhadap racun serangga di beberapa bahagian Asia dan penyelidik memberi amaran bahawa langkah baru untuk mengawalnya amat diperlukan.

Anggaran Waktu Membaca:
Nyamuk kebal racun serangga ancam Asia

Gambar fail nyamuk Aedes. (Gambar: iStock)

TOKYO: Spesies nyamuk yang menyebarkan jangkitan denggi serta virus lain dikesan mempunyai daya tahan tinggi terhadap racun serangga di beberapa bahagian Asia dan penyelidik memberi amaran bahawa langkah baru untuk mengawalnya amat diperlukan.

Pihak berkuasa kesihatan biasanya menyemburkan asap yang mengandungi ubat serangga di kawasan yang dipenuhi nyamuk  tetapi rintangan yang dialami serangga itu sudah lama menjadi kebimbangan dengan skala masalah yang dihadapi tidak difahami dengan baik.

Saintis Jepun, Shinji Kasai, dan pasukannya memeriksa nyamuk dari beberapa negara di Asia dan Ghana.

Mereka mendapati beberapa siri mutasi mengakibatkan bahan kimia tertentu berasaskan piretroid yang popular seperti permethrin, hampir tidak bertahan.

"Di Kemboja, lebih daripada 90 peratus nyamuk Aedes aegypti mempunyai gabungan mutasi mengakibatkan tahap rintangan yang sangat tinggi," kata Encik Kasai kepada AFP.

Beliau turut mendapati beberapa jenis nyamuk mempunyai rintangan 1,000 kali ganda, berbanding 100 kali ganda yang dilihat sebelumnya.

Ini bermakna paras racun serangga yang biasanya akan membunuh hampir 100 peratus nyamuk dalam sampel kini hanya berada sekitar tujuh peratus daripada keberkesanan awal.

Malah, satu dos 10 kali lebih kuat membunuh hanya 30 peratus daripada nyamuk yang berdaya tahan tinggi.

"Tahap rintangan yang kami temui dalam nyamuk di Kemboja dan Vietnam adalah berbeza sama sekali," kata Encik Kasai yang juga pengarah Jabatan Entomologi Perubatan di Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan Jepun.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), denggi boleh mengakibatkan demam berdarah dan menjangkiti anggaran 100 hingga 400 juta orang setahun, walaupun lebih 80 peratus kes adalah ringan atau tanpa gejala.

Beberapa vaksin denggi sudah dibangunkan, dan penyelidik juga sudah menggunakan bakteria yang memandulkan nyamuk untuk menangani virus itu.

Bagaimanapun, setakat ini, tidak satu pun yang berupaya untuk membasmi denggi, malah nyamuk Aedes aegypti turut membawa penyakit lain, termasuk zika dan demam kuning.

Rintangan juga dikesan pada satu lagi jenis nyamuk seperti Aedes albopictus, walaupun pada tahap yang lebih rendah - mungkin disebabkan ia cenderung berkeliaran di tempat terbuka, lazimnya di sekeliling haiwan dan mungkin kurang terdedah kepada racun serangga berbanding Aedes aegypti, yang berada di kalangan manusia.

Penyelidikan mendapati beberapa perubahan genetik dikaitkan dengan rintangan, termasuk dua yang hampir dengan spesies nyamuk yang disasarkan oleh pyrethroid dan beberapa racun serangga lain.

Namun, tahap rintangannya berbeza, dengan nyamuk dari Ghana, beberapa bahagian Indonesia dan Taiwan masih agak terdedah kepada bahan kimia sedia ada, terutamanya pada dos yang lebih tinggi.

Penyelidikan menunjukkan "strategi yang biasa digunakan mungkin tidak lagi berkesan, " kata Cameron Webb, profesor bersekutu dan penyelidik nyamuk di NSW Health Pathology dan Universiti Sydney.

"Terdapat bukti yang semakin meningkat bahawa formula racun serangga sedia ada tidak lagi berkesan dalam mengawal  nyamuk," katanya kepada AFP.

Sumber : Agensi berita/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan