Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nusantara nama baru ibu negara Indonesia di timur Kalimantan

Anggaran Waktu Membaca:
Nusantara nama baru ibu negara Indonesia di timur Kalimantan

Gambar aerial yang diambil pada 31 Jul 2019 oleh saluran berita Tribun Kaltim menunjukkan pemandangan kawasan sekitar Samboja, Kutai Kartanegara, salah satu daripada dua lokasi yang dicadangkan oleh kerajaan untuk ibu negara baharu Indonesia.(Foto: AFP / TRIBUN KALTIM / Fachmi RACHMAN)

Diterbitkan : 17 Jan 2022 03:51PM Dikemas Kini : 17 Jan 2022 03:52PM

JAKARTA: Ibu kota baru Indonesia di timur Kalimantan akan dinamakan Nusantara, kata Menteri Perencanaan Pembangunan Nasional Suharso Monoarfa pada Isnin (17 Jan).

Nama Nusantara, yang bermakna kepulauan dalam bahasa Indonesia, adalah atas arahan dan diluluskan oleh Presiden Joko Widodo, kata Encik Monoarfa.

“Saya baru sahaja menerima pengesahan dan arahan daripada Presiden pada Jumaat.

“Beliau berkata ibu kota baru itu adalah Nusantara," kata Encik Monoarfa semasa mengadakan mesyuarat dengan sebuah jawatankuasa khas bagi penubuhan ibu kota baru tersebut.

Beliau menambah: "Sebabnya kerana Nusantara sudah dikenali sejak sekian lama. Ia ikonik di peringkat antarabangsa, mudah dan menggambarkan kepulauan kita, Republik Indonesia. Saya yakin kita semua bersetuju dengan nama Nusantara," ujarnya.

Sungguhpun demikian, masih belum diputuskan sama ada ibu kota baru itu akan menjadi sebuah wilayah atau bandar.

Pada 2019, Presiden Joko Widodo mengumumkan ibu kota Indonesia akan dipindahkan dari Jakarta ke Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara di wilayah Kalimantan Timur.

Langkah itu dianggap penting bagi menyelamatkan Jakarta yang disifatkan sebagai sebuah kawasan yang rendah dan sesak, di samping peluang untuk membangunkan Kalimantan serta bahagian timur Indonesia. Ini memandangkan sebahagian besar kegiatan ekonomi di negara itu berpusat di Jawa di mana terletaknya ibu kota sekarang.

Pembinaan projek ibu kota baru yang bernilai 466 trilion rupiah (S$43 bilion) itu sepatutnya bermula pada 2020. Namun, pihak berkuasa terpaksa menangguhkan projek tersebut disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Perbincangan mengenai ibu kota baru tersebut diteruskan pada tahun lalu dan pengarca terkenal Bali, Nyoman Nuarta, diumumkan sebagai pereka bentuk istana negara.

Melalui catatan di akaun Instagramnya pada awal bulan ini, Encik Nuarta mendedahkan bahawa Presiden sudah meluluskan reka bentuk akhir yang diilhamkan daripada burung Garuda.

Menteri Kewangan Sri Mulyani dan Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Basuki Hadimuljono melakukan lawatan ke ibu kota baru itu pada bulan ini untuk memeriksa persediaan bagi pembinaannya.

Parlimen dijangka akan meluluskan draf undang-undang ibu kota baru tersebut pada bulan ini supaya kerja-kerja binaan boleh dimulakan tidak lama lagi dan penempatan semula boleh dimulakan pada 2024.

Sumber : CNA/FZ/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan