Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nurul Izzah selamat diijab kabul dengan pilihan hati

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, selamat diijab kabul dengan pilihan hatinya, Yin Shao Loong pada petang Jumaat (5 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Nurul Izzah selamat diijab kabul dengan pilihan hati

Pasangan mempelai Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Yin Shao Loong, yang melangsungkan perkahwinan pada 5 Ogos 2022, diapit Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail. (Gambar: Nurul Izzah Anwar/Facebook)

Diterbitkan : 06 Aug 2022 09:58AM Dikemas Kini : 06 Aug 2022 09:59AM
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, selamat diijab kabul dengan pilihan hatinya, Yin Shao Loong, pada petang Jumaat (5 Ogos).

Majlis pernikahan itu diserikan dengan kehadiran ahli keluarga dan kenalan terdekat di ibu negara Kuala Lumpur.

Pengumuman tersebut disampaikan oleh Nurul Izzah dalam satu kenyataan ringkas yang dimuatnaikkan ke akaun Facebooknya pada Jumaat malam, lapor Astro AWANI.

Anak sulung kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail itu memaklumkan pernikahan beliau berwalikan ayahnya.

“Kami telah selamat diijabkabulkan di samping keluarga terdekat.

"Kami memohon doa kalian semua... agar kita sentiasa di bawah perlindungan Allah SWT,” pintanya dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu disertakan bersama gambar pasangan pengantin baru tersebut, yang diapit kedua-dua orang tua Nurul Izzah.

Shao Loong merupakan seorang Penyelidik Kanan di Institut Penyelidikan Khazanah, yang antara tumpuan bidangnya adalah dalam hal dasar industri, perubahan iklim dan teknologi masa depan, lapor Astro AWANI.

Turut difahamkan bahawa sebelum ini, Shao Loong pernah berkhidmat sebagai pengarah eksekutif badan pemikir PKR, Institut Rakyat, yang diketuai oleh Nurul Izzah.

Beliau juga pernah berkhidmat selaku pengarah komunikasi strategik Pejabat Menteri Besar Selangor ketika pentadbiran Mohamed Azmin Ali.

Nurul Izzah pernah mendirikan rumah tangga bersama Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim pada tahun 2003, bagaimanapun pernikahan mereka berakhir pada 2015.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata.
Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan