Skip to main content

Dunia

Nurul Izzah dilantik Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan PM berdasarkan kelayakan, tekan Anwar Ibrahim

Anggaran Waktu Membaca:
Nurul Izzah dilantik Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan PM berdasarkan kelayakan, tekan Anwar Ibrahim

Bekas Ahli Parlimen Nurul Izzah Anwar. (Gambar: Bernama)

IPOH: Pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dibuat berdasarkan kelayakannya.

Encik Anwar berkata ini kerana anaknya itu mempunyai ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan serta ijazah kedua dalam dasar awam dan sosial dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat, sekali gus dilantik bagi membantunya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Bagaimanapun, beliau berkata Cik Nurul Izzah tidak menerima sebarang elaun atas pelantikannya itu.

“Saya pun tiada kelulusan berkaitan kewangan tetapi saya pernah jadi Menteri Kewangan selama lapan tahun. Menteri-menteri dalam Perikatan Nasional (PN) pun tiada kelulusan masing-masing, tetapi bila giliran kita, mereka bangkitkan.

“Jadi, apakah benar seorang Menteri Kesihatan mesti seorang doktor? Dan seorang menteri air mesti jurutera? Untuk Nurul Izzah, dia ada ijazah kejuruteraan dan ijazah bidang dasar awam. Memang saya minta, pelawa dia untuk bantu saya sebagai penasihat di JPM dan MOF,” ulas Encik Anwar. 

Ahli Parlimen Tambun itu berkata demikian selepas merasmikan Pusat Khidmat Parlimen Tambun di Ipoh yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Mohamad Arafat Varisai Mahamad.

Awal dari itu, Cik Nurul Izzah mengesahkan pelantikannya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri dan memulakan khidmatnya berkuat kuasa 3 Januari lalu. 

Sementara itu, Encik Anwar dalam ucapan perasmiannya berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diarah mengambil tindakan kepada pihak yang terbabit dalam amalan rasuah tanpa mengambil kira parti dan jawatan pihak berkenaan, termasuk pihak yang bertugas di Pejabat Perdana Menteri.

"Kaya bagaimana pun negara ini, tidak mungkin kita angkat darjat dan martabat negara ini serta bela nasib rakyat sebab itu saya kata yang pertama sekali adalah betulkan tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang.

"Mula daripada atas, daripada Perdana Menteri sampai Menteri, Menteri Besar, kerajaan negeri dan wakil rakyat hentikan amalan dan budaya rasuah ini," tegasnya. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita