Notis banjir kilat dikeluarkan bagi 5 negeri di M'sia

Keadaan banjir di Malaysia. (Gambar fail: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di Johor, Kedah, Pahang, Perak dan Pulau Pinang berisiko dilanda banjir kilat dalam tempoh 24 jam sekiranya hujan lebat atau ribut petir yang signifikan berlaku, menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Notis PRABN yang dikeluarkan pada pukul 4.00 petang Rabu (14 Dis) memaklumkan empat daerah di Johor yang dijangka terjejas adalah Johor Bahru iaitu di Plentong; Kota Tinggi (Sedili Besar, Sedili Kechil, Tanjung Surat, Ulu Sungai Sedili Besar); Mersing (bandar Padang Endau, Padang Endau, Triang); dan Muar (bandar, Bandar Maharani, Jalan Bakri, Ayer Baloi) dan di semua kawasan sekitarnya.
Di Kedah pula, ialah di daerah Bandar Baharu melibatkan lokasi di bandar Bandar Baharu, Pekan Lubuk Buntar, Sungai Kecil serta kawasan sekitarnya.
Di Pahang melibatkan empat daerah, iaitu Kuantan (bandar Kuantan, Kuala Kuantan, Pulau Manis, Sungai Karang); Maran (bandar Maran, Chenor, Pekan); Pekan (Bebar,Langgar, Pekan, Dong); dan Rompin; serta kawasan sekitarnya.
Tiga daerah di Perak pula meliputi kawasan Hillir Perak (Changkat Jong, Durian Sebatang); Kerian (Bagan Serai, Kuala Kurau, Parit Buntar); Larut, Matang dan Selama (Bukit Gantang); dan Perak Tengah (Bota, Layang Layang, Pasir Salak).
Di Pulau Pinang pula, lokasi ‘hotspot’ adalah di daerah Seberang Perai Selatan iaitu di Mukim 11, Mukim 7, Nibong Tebal serta kawasan sekitarnya.
Notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan berisiko berwaspada dengan kemungkinan berlaku banjir kilat dalam tempoh tersebut.
“Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. Sila layari laman https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa,” menurut notis itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.