NOTA DARI KL: Membangunkan Malaysia Madani, sejauh mana Belanjawan 2023 membantu rakyat?
Pada awalnya, Belanjawan 2023 telah dibentangkan di Parlimen oleh mantan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sejurus sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan, dengan versi Encik Anwar mengunjurkan perbelanjaan yang lebih tinggi berbanding belanjawan yang dibentangkan sebelum PRU15 (sekitar RM13.84 bilion lebih tinggi) dan belanjawan itu dilakar sedemikian rupa untuk menyokong agenda reformasi Encik Anwar.
Encik Anwar memilih 'Malaysia Madani' sebagai cogan kata pemerintahan Kerajaan Perpaduan dan belanjawan versi Encik Anwar bertunjangkan prinsip-prinsip seperti kemampanan, kemakmuran, inovasi, sikap hormat dan saling menghormati, kepercayaan dan ikhsan.
Semasa menyampaikan belanjawan tersebut selama hampir dua jam, Encik Anwar turut menggariskan pendekatannya untuk menangani isu-isu kewangan: mencergaskan ekonomi yang hambar, mengukuhkan institusi-institusi kerajaan bagi mempertingkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia dan menegakkan keadilan sosial.
Pengagihan Semula Kemewahan demi Keadilan Sosial
Paling mendapat perhatian media dan para penganalisis adalah cukai yang dikenakan ke atas golongan T20 yang akan dinaikkan antara 0.5% hingga 2%, manakala cukai pendapatan ke atas rakyat yang membawa pulang antara RM35,000 hingga RM100,000 (golongan M40) akan diturunkan sebanyak 2%.
Sekalipun kurang daripada 150,000 pembayar cukai T20 dijangka terjejas, semakan ini tetap akan menghasilkan peningkatan keseluruhan pada pendapatan cukai dan akan membolehkan golongan M40 (sekitar 2.4 juta pembayar cukai) mempunyai sekurang-kurangnya RM1,300 dalam tangan yang merupakan satu peningkatan kepada pendapatan boleh guna mereka.
Encik Anwar dengan jelas menegaskan bahawa beliau mahu merubah tanggapan bahawa kerajaan seolah-olah hanya berminat untuk mengekalkan status quo dan melindungi golongan mewah sahaja.
Daripada memupuk budaya yang terlalu bergantung kepada bantuan kewangan, sokongan kepada golongan miskin dihulurkan dalam bentuk insentif bagi menggalak mereka mencari rezeki secara aktif atau sehingga akhirnya berupaya menampung kos besar seperti membeli rumah.
Kerajaan juga berjanji akan menampung kos lesen memandu seperti motosikal bawah 250cc, teksi, bas dan kenderaan sewa privet. Bersama dengan insentif dan pelepasan cukai bagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja secara sukarela, skim-skim jaminan sosial bagi pekerja bebas, penambahan pada dana yang disediakan bagi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) untuk mendapatkan pinjaman rumah dan pelbagai pakej bagi perusahaan-perusahaan mikro - terdapat juga bermacam-macam sokongan lain bagi membantu pekerja bebas dan pekerja kasual.
Manfaat tambahan yang dihulurkan kepada para pekerja bebas pasti akan disambut baik oleh golongan pengundi muda yang berusia antara 18 hingga 21 tahun, khususnya golongan remaja yang baru saja meninggalkan bangku sekolah dan kurang cenderung untuk melanjutkan pengajian mereka.
Buat masa ini, ramai daripada golongan usia itu memilih untuk menjadi penghantar makanan atau pekerja khidmat penghantaran dengan gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan dan mereka bebas bergerak dengan motosikal mereka, dengan motosikal menjadi pilihan popular dalam kalangan golongan belia yang menyifatkannya sebagai satu kegiatan masa lapang yang popular.
Jumlah pelajar perempuan yang menuntut di institusi-institusi pengajian tinggi juga jauh lebih tinggi berbanding pelajar lelaki sepanjang tempoh sekurang-kurangnya sejak 10 tahun lalu.
Diskaun sebanyak 20% bagi pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pilihan penangguhan pembayaran balik selama enam bulan bagi mereka yang membawa pulang kurang RM1,800 sebulan pastinya satu berita yang menggembirakan bagi golongan pengundi muda. Ini adalah isu yang sering disebut-sebut oleh orang muda sebelum berlangsung PRU15.
Kaum wanita juga akan dibantu di bawah Belanjawan Madani, dengan RM290 juta diperuntukkan bagi menyokong golongan ibu yang kembali ke pasaran buruh. Ini akan membantu lebih 130,000 wanita muda.
Pemilik rumah kali pertama yang layak akan terus menikmati pengecualian cukai setem daripada jumlah pengecualian untuk rumah yang berharga antara RM500,000 dengan RM1 juta. Sekalipun inisiatif ini diusulkan dalam belanjawan kerajaan lalu, ia boleh menghasilkan penjimatan sebanyak beberapa ribu ringgit kepada para pemilik baru.
Cukai setem juga akan diturunkan bagi kes-kes melibatkan pemilikan rumah yang bertukar tangan antara ibu bapa dengan anak atau cucu mereka. Inisiatif ini dijangka akan meningkatkan pendapatan boleh guna golongan M40.
Perusahaan-perusahaan kecil turut mendapat perhatian Kerajaan Perpaduan, dengan pelbagai skim akan ditawarkan kepada mereka. Antaranya adalah geran-geran dan program-program bagi mempertingkatkan kemahiran digital dan e-dagang, automasi perniagaan dan pendigitalan, selain daripada pembiayaan dana bernilai RM1 bilion yang diikrarkan sebagai peluang-peluang ditawarkan di bawah Bank Negara. Cukai yang dikenakan ke atas perusahaan-perusahaan mikro bagi RM150,000 pertama daripada pendapatan mereka juga dikurangkan sebanyak dua peratusan mata kepada 15%.
Mempertingkatkan Sistem, Ketelusan dan Pelaburan
Kunci kepada usaha untuk memikat lebih banyak pelaburan, menurut Encik Anwar, adalah dengan mempertingkatkan kewibawaan kerajaan dan proses-proses yang dijalankan. Beliau turut menarik perhatian kepada kerugian bernilai berbilion-bilion ringgit disebabkan oleh ketirisan subsidi diesel, pentadbiran kutipan cukai import yang lemah dan pembayaran tidak teratur oleh agensi-agensi kerajaan.
Sejumlah projek tebatan banjir dan projek-projek lain juga sudah dibatalkan dan akan ditender semula, dengan jangkaan beberapa bilion ringgit dapat dijimatkan.
Penyelewengan pada pemberian projek-projek besar kerajaan memang sudah diketahui ramai dan setiap kerajaan baru yang mengambil alih kuasa sejak PRU14 memulakan penggal masing-masing dengan melaksanakan penarikan balik dan penugasan semula projek dan pengumuman siasatan terhadap penyelewengan. Begitu juga dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan Encik Anwar. Beliau telah berjanji akan menyusun semula agensi-agensi pelaburan dan insentif-insentif pelaburan serta melaksanakan cukai berstruktur untuk merancakkan pelaburan di Malaysia. Satu Pelan Induk yang baru akan dilancarkan pada lewat tahun ini.
Seiring dengan sokongan yang diberikan kepada Kerajaan Perpaduan oleh parti-parti politik di Sabah dan Sarawak, peruntukan dana kepada kedua-dua negeri itu turut dipertingkatkan, dengan sebahagian besarnya berkaitan keperluan prasarana-prasarana penting seperti pembinaan jalan raya dan lebuh raya.
Satu aspek yang akan membantu mempercepatkan rentak pembangunan yang boleh berlaku, bagaimanapun, adalah keupayaan kedua-dua negeri untuk meluluskan projek-projek yang bernilai kurang daripada RM50 juta tanpa perlu mendapatkan kelulusan kerajaan persekutuan terlebih dahulu. Satu lagi adalah ikrar untuk menyediakan pondok imigresen dan jalan raya pemisah sempadan yang lebih baik. Ini akan mempertingkatkan logistik, baik di dalam Sabah dan Sarawak sendiri mahupun antara kedua-dua negeri tersebut, serta hubungannya dengan Kalimatan (terutama sekali ibu negara baru Indonesia, Nusantara) dan Brunei.
Laporan-laporan media turut membayangkan industri binaan tidak begitu berpuas hati dengan belanjawan yang dibentangkan dan mereka mahu melihat lebih banyak projek pembangunan yang besar dijalankan kerana akan ada kesan limpahan kepada perniagaan-perniagaan lain. Mereka juga ingin melihat projek MRT3 dipercepatkan, sekalipun projek tersebut akan ditender semula.
Sebenarnya, belanjawan Encik Anwar memfokuskan kepada pelbagai projek binaan dan penambahbaikan merangkumi jalan raya, hospital dan sekolah.
Rintangan dan Ketidaktentuan
Encik Anwar merancang untuk menumpukan perhatian kepada sektor pengilangan, pelancongan dan perkhidmatan untuk memacu ekonomi Malaysia. Rancangan itu bagaimanapun mungkin mengalami kegenjotan. Sekalipun sempadan-sempadannya sudah dibuka semula pascapandemik, prestasi sektor pelancongan Malaysia tidak serancak dan sehebat Indonesia dan Thailand.
Dengan peluang untuk rakyat Malaysia kembali bekerja di Singapura kini dibuka semula, ramai yang pernah bekerja dalam bidang perkhidmatan, makanan dan minuman (F&B) dan pelancongan telah memilih untuk bekerja di Singapura untuk mengambil kesempatan daripada pertukaran mata wang yang tinggi dan meraih pendapatan yang lebih lumayan.
Kerajaan bagaimanapun menyedari bahawa ini akan menyebabkan kekurangan pada tenaga kerja berkemahiran di Malaysia. Lantaran itu, kerajaan merancang untuk merombak struktur institusi-institusi kejuruan dan mendapatkan sokongan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyemak kandungan dan pentadbiran masing-masing.
Disebabkan oleh rasa kurang puas hati terhadap peluang untuk mengeluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan kini langkah-langkah tambahan untuk menahannya sehingga pencarum berusia 60 tahun, ramai menarik perhatian setiap rakyat biasa perlu celik kewangan untuk memahami bahawa huraian jangka pendek boleh membawa kesan yang lebih teruk dalam jangka panjang.
Tetapi mungkin terdapat niat yang bermotif politik di sebalik catatan-catatan di media sosial yang menyuarakan rasa kurang senang itu.
Para penyokong kerajaan terdahulu sudah pasti mencari peluang untuk menimbulkan keraguan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Kestabilan politik sudah pasti merupakan faktor terpenting dalam memastikan belanjawan ini akan membuahkan hasil yang diinginkan. Tanpa kestabilan politik, para pelabur tidak mungkin yakin terhadap masa depan Malaysia.
Meskipun perubahan-perubahan pada cukai pendapatan akan menjana pendapatan, Encik Anwar sejak dari awal lagi telah mendedahkan beban hutang yang ditanggung Malaysia iaitu RM1.2 trilion pada 2023 atau 20% daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) yang diunjurkan. Maka itu, pelaburan sangat penting.
Tetapi, bagi mereka yang kurang senang selepas kehilangan kuasa, projek dan cukai yang dinaikkan, mereka mungkin akan cuba memporak-perandakan keadaan.
Faktor-faktor luaran dan kegawatan ekonomi pada 2023 mungkin akan menjejaskan unjuran positif setakat ini - sekalipun Bank Negara menarik perhatian bahawa Malaysia tidak mungkin akan mengalami kemelesetan ekonomi.
Sebahagian besar faktor luaran dan faktor global adalah di luar kawalan kerajaan. Hakikatnya, rakyat Malaysia cuma mahu melihat kos sara hidup menurun dan nilai ringgit meningkat.
Ketidakpastian masih dijangkakan dan seluruh rakyat Malaysia sedang menunggu untuk melihat sama ada rancangan-rancangan besar ini boleh menjadi kenyataan.
MENGENAI PENULIS:
Dr Serina Rahman adalah pensyarah di Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Zamil Bersekutu di ISEAS – Institut Yusof Ishak. Beliau mengkaji interaksi antara manusia dengan habitat di kawasan pantai, politik sekitaran dan luar bandar serta sumber-sumber perikanan artisan di Malaysia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.