Norway sahkan keputusan batal lesen peluru berpandu untuk Malaysia, alasan kawalan eksport lebih ketat
Sebuah kapal tempur pesisir yang sedang dibina di limbungan kapal tentera laut Boustead di Lumut, Perak. (Gambar Fail: Facebook/Hishammuddin Hussein)
- Norway membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu ke Malaysia atas alasan kawalan lebih ketat terhadap teknologi pertahanan sensitif.
- Keputusan ini menimbulkan reaksi keras daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menyifatkannya sebagai tindakan sepihak dan menjejaskan kepercayaan terhadap pembekal Eropah.
- Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin menyatakan Malaysia telah membayar hampir 95% nilai kontrak dan kini menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji tindakan undang-undang terhadap Kongsberg Defence and Aerospace.
- Kementerian pertahanan juga sedang mencari sistem alternatif, walaupun prosesnya sukar kerana perlu menepati spesifikasi kapal tempur pesisir yang sedia ada.
“Kementerian Luar boleh mengesahkan bahawa beberapa lesen berkaitan eksport teknologi pertahanan tertentu ke Malaysia dibatalkan,” menurut kenyataan kementerian luar Norway yang ditukil media pada Khamis (14 Mei) dan Jumaat.
Kementerian itu menambah keputusan tersebut dibuat berdasarkan peraturan kawalan eksport Norway dan mengakui tindakan itu akan memberi kesan kepada Malaysia.
Perkara itu menerima reaksi keras daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menyifatkan keputusan Norway sebagai “tindakan sepihak dan tidak boleh diterima” ketika menghubungi Perdana Menteri Norway Jonas Gahr Stoere.
“Malaysia memenuhi setiap tanggungjawab di bawah kontrak ini sejak 2018,” tulis Encik Anwar di Facebook.
“Namun Norway nampaknya tidak menunjukkan tahap kepercayaan dan itikad baik yang sama.”
Encik Anwar berkata tindakan itu boleh menjejaskan kesiapsiagaan pertahanan Malaysia serta program pemodenan kapal tempur pesisir (LCS), selain memberi implikasi lebih luas terhadap keseimbangan keselamatan serantau.
“Kontrak yang ditandatangani bukan sesuatu yang boleh dipermainkan sesuka hati,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan keyakinan terhadap pembekal pertahanan Eropah sekiranya kontrak boleh dibatalkan tanpa sebarang tanggungjawab.
Kementerian luar Norway pula menjelaskan keputusan itu dipengaruhi oleh perubahan keadaan keselamatan di Eropah dan dunia.
“Eksport beberapa teknologi pertahanan sensitif yang dibangunkan Norway kini dihadkan hanya kepada sekutu dan rakan rapat,” menurut kenyataan itu sambil menegaskan Oslo tetap menghargai hubungan dengan Malaysia dan berharap dialog yang membina dapat diteruskan.
MALAYSIA PERTIMBANG TINDAKAN UNDAG-UNDANG
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata setakat ini tiada petanda Norway akan menarik balik keputusan tersebut.
“Setakat ini negatif,” katanya kepada New Straits Times ketika ditanya sama ada Malaysia masih boleh menerima penghantaran peluru berpandu seperti dipersetujui sebelum ini.
Encik Khaled turut berkata kementerian pertahanan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji tindakan undang-undang terhadap Kongsberg Defence and Aerospace (KDA), syarikat Norway yang membangunkan sistem peluru berpandu itu.
Malaysia dilaporkan sudah membayar hampir 95 peratus daripada nilai kontrak bernilai lebih RM500 juta (S$161.71 juta).
“Kami bukan sahaja akan menuntut semula bayaran yang dibuat, malah kerugian akibat pelanggaran kontrak,” katanya.
Kementerian pertahanan juga sedang mencari sistem alternatif, namun Encik Khaled mengakui proses itu bukan mudah kerana sistem pertahanan perlu sesuai dengan spesifikasi dan sistem komunikasi kapal sedia ada.
“Namun kami sedang mencari pilihan yang boleh dipercepatkan. Kami mesti membuat keputusan terbaik demi negara,” katanya lagi.
Menurut Encik Khaled, tanda awal masalah timbul apabila penghantaran peluru berpandu yang dijadualkan pada Mac gagal dilaksanakan.
Beliau dijangka bertemu rakan sejawatnya dari Norway di Singapura hujung bulan ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung sekatan eksport tersebut.
Kongsberg Defence and Aerospace sebelum ini menandatangani kontrak bernilai 124 juta euro (S$184.59 juta) dengan Tentera Laut Diraja Malaysia pada 2018 untuk membekalkan peluru berpandu serangan laut bagi enam kapal tempur pesisir.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.