Skip to main content

Dunia

Norway perkenal larangan hampir menyeluruh terhadap AI bagi pelajar sekolah rendah

Norway akan mengenakan larangan yang hampir menyeluruh terhadap penggunaan alat kecerdasan buatan (AI) generatif oleh murid-murid sekolah rendah, selain mengehadkan penggunaannya dalam kalangan pelajar yang lebih berusia bagi mengelakkan kesan negatif terhadap pembelajaran, kata Perdana Menteri negara itu pada Jumaat (19 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Norway perkenal larangan hampir menyeluruh terhadap AI bagi pelajar sekolah rendah

Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Stoere. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 19 Jun 2026 11:20PM
  • Pemerintah Norway mengumumkan larangan hampir menyeluruh penggunaan AI generatif oleh murid sekolah rendah dan mengehadkan penggunaannya di sekolah menengah.
  • Langkah ini diumumkan oleh Perdana Menteri Jonas Gahr Stoere pada 19 Jun, dengan garis panduan baharu berkuat kuasa akhir Ogos 2024.
  • Tindakan diambil susulan kemerosotan keputusan ujian pendidikan dan kebimbangan AI menjejaskan pembelajaran asas seperti membaca dan menulis.
  • Norway juga mengusulkan lebih banyak penggunaan buku di bilik darjah serta melarang media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun.
Dijana oleh AI
OSLO: Norway akan mengenakan larangan yang hampir menyeluruh terhadap penggunaan alat kecerdasan buatan (AI) generatif oleh murid-murid sekolah rendah, selain mengehadkan penggunaannya dalam kalangan pelajar yang lebih berusia bagi mengelakkan kesan negatif terhadap pembelajaran, kata Perdana Menteri negara itu pada Jumaat (19 Jun).

Berdepan kemerosotan meluas dalam keputusan ujian pendidikan, pemerintah Norway pada 2024 mengharamkan penggunaan telefon bijak di sekolah dan mengembalikan lebih banyak kuasa kepada para guru untuk menguatkuasakan disiplin di dalam bilik darjah.

Penggunaan AI meningkatkan risiko kanak-kanak mengabaikan langkah-langkah penting dalam proses pembelajaran mereka, kata Perdana Menteri Jonas Gahr Stoere dalam satu sidang media pada Jumaat.

"Perkara paling penting di sekolah ialah memastikan anak-anak kita belajar membaca, menulis dan menguasai matematik," kata Encik Stoere sambil menambah bahawa garis panduan baharu itu akan dikuatkuasakan mulai tahun persekolahan baharu yang bermula pada penghujung Ogos.

Murid Tahun Satu hingga Tahun Tujuh, berusia antara enam hingga 13 tahun, secara amnya tidak seharusnya menggunakan AI, manakala pelajar sekolah menengah rendah berusia 14 hingga 16 tahun boleh menggunakan alat tersebut secara berhati-hati di bawah pengawasan guru, menurut pemerintah.

Bagi pelajar sekolah menengah atas yang berusia antara 17 hingga 19 tahun pula, mereka perlu mempelajari cara untuk menggunakan AI dengan sewajarnya sebagai persediaan untuk melanjutkan pelajaran dan memasuki dunia pekerjaan, tambahnya.

Norway mula memperkenalkan penggunaan komputer di bilik darjah pada tahun 1990-an dan tablet selepas pelancaran iPad sekitar 2010, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada buku dan tulisan tangan.

Namun, dalam satu kenyataan berkaitan pada Jumaat, pemerintah Norway turut memaklumkan bahawa ia akan mengusulkan undang-undang bagi membiayai penggunaan lebih banyak buku di dalam bilik darjah, sekali gus mengubah semula trend penggunaan tablet komputer.

Pada April lalu, pemerintah Norway juga mengumumkan rancangan untuk melarang kanak-kanak daripada menggunakan media sosial sehingga mereka berusia 16 tahun, selaras dengan langkah yang dipelopori Australia dan beberapa negara lain bagi mengurangkan penggunaan peranti elektronik dalam kalangan golongan muda.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita