Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

"No Anwar, No DAP, No Bersatu" hanya untuk PRU15, kata Zahid Hamidi

Anggaran Waktu Membaca:
"No Anwar, No DAP, No Bersatu" hanya untuk PRU15, kata Zahid Hamidi

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: Zahid Hamidi/Facebook)

SHAH ALAM: Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerjasama yang dibentuk antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang merangkumi DAP pada pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tidak akan menghilangkan identiti serta mengabaikan prinsip parti itu, lapor Astro AWANI.

Justeru, beliau meminta semua pihak untuk memahami bahawa prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah untuk berdepan PRU15 dan bukannya selepas PRU15.

"Selepas pilihan raya umum, marilah kita merapatkan barisan. Umpama 'lidi seikat' ini perlu bagi menyapu segala kotoran yang telah dilemparkan kepada UMNO dan pembersihan ini penting bagi memastikan laman politik tidak kotor luar dan dalam.

"Kesinambungan politik ini tidak akan menghilangkan identiti UMNO yang tetap tidak berubah objektif penubuhan parti iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam bagi memperkasa kemajuan bangsa.

Sesuai dengan perkembangan, ia perlu cakna dengan perubahan semasa, dinamik dan dilihat inklusif," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa (29 Nov) seperti dilaporkan Astro AWANI.

Sebaliknya, jelas Encik Ahmad Zahid, kerjasama antara blok ini merupakan pilihan dan pendekatan baru yang akan menjadi perintis kepada perpaduan dan keharmonian kerajaan agar fokus pembangunan dapat diteruskan.

Katanya, keterbukaan ini juga mencerminkan bahawa BN dan PH merintis jalan baru untuk membawa politik centrik, jalan kesederhanaan dan matang.

"Kerjasama yang dibina oleh BN Perak dan Pahang bagi memancarkan realiti masyarakat berbilang kaum dan meraikan kepelbagaian sesuai dengan demografi negeri yang merupakan asas kepada pembentukan kerjasama strategik.

"Kerjasama ini berdasarkan prinsip untuk membawa kestabilan kepada kerajaan negeri dan memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

"Kesemua ini selari dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diilhamkan oleh Yang Dipertuan Agong dan kini ia berbentuk kerajaan campuran selepas Perikatan Nasional menolak menyertainya," ujarnya.

Menurutnya, UMNO tetap mempertahankan dasar parti untuk mengamalkan sikap sederhana, sentrik (jalan tengah) dan progresif dalam menangani perubahan.

Katanya, pihaknya juga menolak parti politik menggunakan agama untuk berpolitik.

"Sebaliknya UMNO secara bertanggungjawab menggunakan politik untuk memelihara perkara berkaitan kepentingan bangsa, Melayu-Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan