Skip to main content

Dunia

Nilai ringgit Malaysia lebih lemah tarik lebih ramai warga Johor bekerja di SG, sektor utama negeri kekurangan pekerja

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Untuk pergi kerja setiap hari, jururawat Bavanee Kengkan perlu memandu dari rumahnya di Skudai ke perhentian bas di Gelang Patah, dan kemudian menaiki sebuah bas awam untuk ke Singapura melalui Linkedua, sebelum menaiki sebuah lagi bas lagi untuk sampai ke tempat kerjanya di bahagian barat Singapura.

Seluruh perjalanan yang menjerihkan itu mengambil masa 90 minit, dan Cik Bavanee tabah melakukannya sejak sedekad yang lalu.

Meski mencabar, beliau percaya ia salah satu keputusan terbaik yang dibuatnya memandangkan gaji lebih tinggi yang diperoleh dapat memastikan keluarganya hidup dengan selesa.
Related article image
Bavanee Kengkan. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
"Sebelum saya meletak jawatan sebagai jururawat pada 2014 di Malaysia, gaji asas saya hanya RM2,700 (S$788.19) setiap bulan. Di Singapura, gaji asas bagi seorang jururawat junior pada ketika itu adalah sekitar S$2,500 dan nilainya agak kurang sama dengan lebih RM7,000. Ia satu perbezaan sangat ketara," katanya.

"Dalam dua tahun, saya dapat melunaskan hutang keluarga bagi rumah kami, dan (pinjaman bagi) sebuah van - yang dibeli suami saya untuk perniagaannya. Pendapatan tambahan itu membuat kami tenang," ujar ibu kepada seorang anak perempuan berusia 10 tahun tersebut. Beliau menambah bahawa gajinya telah meningkat pada "kadar yang sederhana" setiap tahun, namun enggan mendedahkan perinciannya.

Fenomena penduduk Johor mencari pekerjaan di Singapura semata-mata untuk meraih pendapatan yang lebih tinggi, bukan sesuatu yang baharu. Kedudukannya bersempadan dengan Singapura serta prospek memperoleh gaji dua hingga tiga kali lebih tinggi daripada apa yang dibayar di Johor menjadi antara faktor yang menarik warga Johor untuk bekerja di Singapura.

Berikutan kadar mata wang Singapura yang lebih tiga kali ganda nilainya berbanding ringgit, menyebabkan pekerja Malaysia berlumba-lumba untuk mencari rezeki lumayan di negara ini.
Setakat Selasa, nilai dolar Singapura berbanding ringgit Malaysia adalah 3.4271 menurut satu laporan Bernama iaitu 7.09 peratus lebih tinggi daripada sekitar 3.20 yang dicatat pada Julai tahun lalu.

Ini sekali gus menimbulkan lebih banyak tekanan terhadap beberapa sektor ekonomi di Johor, yang telah terjejas teruk sejak tiga tahun lalu disebabkan pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri Liew Chin Tong memberitahu Mediacorp bahawa kerajaan persekutuan sedia maklum mengenai isu tersebut dan ia mempertimbangkan untuk menaikkan gaji di negeri selatan itu.
Related article image
Timbalan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri Liew Chin Tong bercakap kepada Mediacorp. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
SEKTOR JAGAAN KESIHATAN, F&B BERGELUT KEKURANGAN PEKERJA

Pada Mei 2022, kerajaan Johor mengumumkan bahawa ia akan menubuhkan sebuah pasukan bertindak khas untuk menangani isu pengambilan pekerja dan "fenomena perhijrahan bakat" ke Singapura.

Menurut Pengerusi jawatankuasa sumber manusia negeri itu, Mohd Hairi Mad Shah Johor "mengalami kekurangan pekerja tempatan yang kritikal dalam beberapa sektor ekonomi utama di Johor seperti perkhidmatan, komoditi dan pengilangan".

Tambahnya, apabila sempadan negara dibuka semula susuli COVID-19, ramai warga Johor menerima tawaran bekerja di Singapura dan "kadar pertukaran mata wang membawa kelebihan kepada mereka yang menerima gaji dalam dolar Singapura".

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon memberitahu Mediacorp baru-baru ini bahawa "bukan satu rahsia" bahawa sektor penjagaan kesihatan mengalami kekurangan tenaga kerja.

"Kami kekurangan seramai 2,800 jururawat di hospital awam, dan ini tidak termasuk jururawat di hospital swasta," ujar Encik Ling.

Beliau menambah: "Kami sedang bekerjasama dengan kementerian kesihatan ... dan kami akan melatih lebih ramai jururawat tempatan. Diharapkan, dalam satu hingga dua tahun, kami dapat menambah jumlah jururawat lebih muda (untuk bekerja) di hospital kami di merata negeri."
Related article image
Gambar: CNA/Fadza Ishak
FIRMA JOHOR MESTI RAPATKAN JURANG GAJI DENGAN SG KEPADA SEKURANG-KURANGNYA DUA PERTIGA: TIMBALAN MENTERI

Encik Liew memberitahu Mediacorp bahawa Johor akan dapat mengekalkan tenaga kerjanya dengan lebih baik jika ia menawarkan gaji sekitar dua pertiga daripada apa yang ditawarkan di seberang Koswe. Beliau menarik perhatian bahawa sasaran itu mampu dicapai terutama sekali dalam sektor perkilangan.

"Ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura (mendapat gaji) S$2,000 dan ke bawah ... kami bercakap tentang menawarkan RM5,000 kepada mereka," kata Encik Liew.

Malaysia kini melaksanakan model gaji minimum. Pada bulan Mei, gaji minimum negara itu dinaikkan daripada RM1,200 (S$349) kepada RM1,500 (S$436).
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita