Nigeria berunding minta penculik bebaskan 42 mangsa
Nigeria berusaha membebaskan lebih 40 mangsa yang diculik dari sebuah sekolah, termasuk dengan menghantar seorang imam ke hutan untuk bertemu para penculik, kata seorang pegawai tempatan kepada AFP pada Jumaat (19 Feb).

(Gambar: AFP)
KANO: Nigeria berusaha membebaskan lebih 40 mangsa yang diculik dari sebuah sekolah, termasuk dengan menghantar seorang imam ke hutan untuk bertemu para penculik, kata seorang pegawai tempatan kepada AFP pada Jumaat (19 Feb).
Sekumpulan lelaki bersenjata yang berpakaian seragam tentera menyerbu Kolej Sains Pemerintah di Kagara, Niger, pada Rabu lalu, membunuh seorang pelajar dan menculik pelajar lain.
Menurut para pegawai, kumpulan penculik itu menjadikan 42 orang, termasuk 27 pelajar, tiga guru dan saudara saudara kakitangan sekolah sebagai tebusan dalam insiden penculikan terbaru di negara itu.
"Perbincangan (dengan penculik) sedang berlangsung dan ada pelbagai strategi ditetapkan," kata Pesuruhjaya Maklumat Negara Niger, Muhammad Sani Idris, pada Jumaat.
Pihak berkuasa tempatan membenarkan seorang imam, Ahmad Gumi berjumpa dengan anggota kumpulan itu sebagai satu usaha untuk membebaskan kesemua mangsa.
"Gumi pergi sebagai pendakwah kerana ramai penculik tersebut mengaku beragama Islam, dan beliau turut membawa buku-buku agama untuk mereka," kata Idris.
"Beberapa daripada mereka (penculik) mula memberi alasan dan menyuarakan penyesalan," katanya.
Tiada permintaan tebusan dibuat atau akan dibayar, tambah beliau.
Presiden Muhammadu Buhari, mengarahkan pasukan keselamatan supaya membebaskan mangsa-mangsa penculikan, manakala pihak tentera dan polis berkata mereka sedang mengesan kumpulan itu.
Gabenor Niger, Abubakar Sani Bello bertemu dengan imam tersebut selepas berbincang dengan kumpulan penculik.
"Kami mahu membawa mereka pulang dengan apa cara sekali pun dan akan melakukan yang terbaik," menurut Gabenor Bello.
"Kami sedang melakukan apa sahaja yang diperlukan. Banyak sudah dilakukan, maka saya berpendapat kami sudah sampai ke peringkat akhir," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.