Skip to main content

Dunia

Niat tidak kesampaian; bapa graduan di Malaysia ini "pergi" dulu sebelum konvokesyen

Anggaran Waktu Membaca:
Niat tidak kesampaian;  bapa graduan di Malaysia ini "pergi" dulu sebelum konvokesyen

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 22 Nov 2023 11:22PM
TANJUNG MALIM: Juline Ulana sanggup melakukan kerja sambilan di hotel dan restoran sebaik tamat pengajian Julai lepas, semata-mata ingin mengumpul wang untuk membeli tiket penerbangan buat ayahnya, Ulana Monteri dari Ranau, Sabah menghadiri majlis konvokesyennya di Tanjung Malim, Perak, pada Rabu (22 Nov).

Graduan berusia 24 tahun itu gembira apabila dapat menyediakan tiket penerbangan bagi ibu, abang dan bapanya sebulan lepas untuk menyaksikannya menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal dan Kanak-Kanak di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Namun, hasrat untuk membawa bapanya tidak kesampaian apabila bapanya berusia 64 tahun itu meninggal dunia akibat barah hidung tahap empat pada Selasa (21 Nov).

"Sepatutnya bapa saya ikut bersama kami tetapi tiketnya terpaksa dibatalkan kerana kesihatannya tidak mengizinkan. Apabila saya, ibu dan abang sampai di tempat penginapan, kami dapat panggilan mengatakan bapa sudah tiada kira-kira pukul 3.30 petang semalam," katanya ketika ditemui pada istiadat konvokesyen UPSI ke-25 pada Rabu.

Anak kelapan daripada sembilan beradik itu berkata walaupun gembira kerana berjaya mendapatkan segulung ijazah, jauh di sudut hatinya tetap sedih kerana kehilangan bapa tersayang dan terkilan kerana bapanya tidak sempat menyaksikan dia naik ke pentas menerima skrol.

"Sebelum ini, bapa pernah beritahu dia boleh hadir kerana kesihatannya agak stabil, tetapi kira-kira dua minggu sebelum konvokesyen, bapa beritahu saya tidak dapat ikut walaupun saya sudah membeli tiket. Saya tamat pengajian sebab nak tengok bapa sihat, mahu dia tengok saya terima ijazah di pentas," katanya dalam nada sebak.



 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita