Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

NGO rayu bantuan China selamatkan mangsa penipuan kerja rakyat M'sia di Myanmar

Anggaran Waktu Membaca:
NGO rayu bantuan China selamatkan mangsa penipuan kerja rakyat M'sia di Myanmar

Tiga NGO memohon bantuan China untuk membantu menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar, di Kedutaan Besar China di Malaysia, di Jalan Ampang pada 17 Okt 2022. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Isnin (17 Okt) memohon bantuan China untuk membantu menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dan Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) menyerahkan memorandum mengenai perkara itu kepada Kedutaan China di Malaysia.

Setiausaha Agung MHO Hishamuddin Hashim berkata kepada para wartawan di luar kedutaan itu bahawa hubungan baik antara China dengan Myanmar boleh memberi kelebihan dalam memujuk Myanmar untuk membantu melepaskan rakyat Malaysia yang terlibat.

Tambahnya lagi, beberapa ratus rakyat Malaysia terperangkap di Myanmar sejak awal tahun ini selepas ditipu sindiket itu.

Encik Hishammuddin berkata NGO itu sudah memohon bantuan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu, bagi membantu membawa balik rakyat Malaysia di Myanmar.

“Hari ini, bersama-sama keluarga mangsa, kami merayu bantuan China,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan Malaysia untuk mencadangkan Mesyuarat ASEAN Campur Tiga diadakan, bertujuan menghapuskan perdagangan manusia di rantau itu.

ASEAN Campur Tiga merangkumi 10 negara ASEAN serta China, Jepun dan Korea Selatan.

Selain itu, Hishamuddin berterima kasih kepada kerajaan Laos dan Kemboja atas pertolongan mereka membantu menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa kepada sindiket penipuan pekerjaan di kedua-dua negara itu.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata 273 mangsa sudahpun diselamatkan di Kemboja, Laos, Thailand dan Myanmar mulai April hingga Oktober ini daripada 401 kes yang dilaporkan kepada kerajaan.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan