Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

NGO M'sia hantar pulang 9,000 undi pos dari SG dua hari sebelum PRU15

Anggaran Waktu Membaca:
Sebuah badan bukan pemerintah sedang berusaha membawa pulang sekitar 9,000 kertas undi pos rakyat Malaysia yang menetap di Singapura.

Meskipun berkejar dengan masa, para relawan ingin memastikan semua undi diambil kira.

Kutipan undi pos diadakan di 20 tempat di merata Singapura bagi memudahkan rakyat Malaysia melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 negara itu.

Matlamatnya adalah untuk memastikan kertas undi sampai ke kawasan undi di Malaysia, pada jam 5 petang pada hari pengundian pada Sabtu (19 Nov).

Ia diusahakan oleh NGO berpangkalan di sini, 1thirdmedia Movement yang bekerjasama dengan gerakan UNDI18 di Malaysia untuk menghantar pulang undi pos luar negara.

"Setiap undi itu melambangkan suara kita yang akan menjadi sebahagian daripada proses pembangunan negara. Peluang ini cuma datang lima tahun sekali jadi saya rasa undi ini adalah cara yang paling kuat untuk kita meluahkan pilihan kita, kata sukarelawan Calvin Ong.

Kertas-kertas undi yang dikumpulkan dihantar ke pusat penyelarasan di Kuala Lumpur pada Khamis (17 Nov).

Gerakan Undi18 kemudian mengambil alih dan mengasingkan sampul yang diterima dari merata dunia.

Semua kertas undi kemudian akan disalurkan ke lebih 200 kawasan undi di Malaysia.

Skalanya jauh lebih besar berbanding pilihan raya negeri Johor awal tahun ini.

"Yang pertama adalah undi Johor dan pada tempoh kawalan pergerakan bulan Mac. ini adalah yang besar-besaran kerana ia melibatkan satu Malaysia. Cabarannya berbeza berbanding Johor. Untuk Johor, kami hanya mengumpulkan enam ribu kertas undi," kata seorang lagi sukarelawan, Farrah Diyana Mohamad Ali.

Satu lagi rintangan menurut pihak NGO adalah sesetengah pengundi yang menerima kertas undi mereka lewat.

Lantas terdapat saranan untuk menjadikan kedutaan Malaysia di luar negara sebagai pusat pengumpulan undi di masa depan.

"Pilihan untuk menghantar undi itu ke kedutaan Malaysia saya rasa perlu juga dipertimbangkan sebab sangat sukar atau ada cabaran untuk menghantar secara peribadi atas kos sendiri, kertas undi ke tempat pengiraan undi itu di kawasan mereka. Bagi orang tertentu itu cabaran yang tinggi," kata Dr Lee Hwok Aun, Zamil Kanan ISEAS - Institut Yusof Ishak.

Sementara itu, dengan tinggal dua hari sebelum hari mengundi, rakyat Malaysia di luar negara berusaha sedaya upaya untuk memainkan peranan, membentuk masa depan politik negara yang mereka inginkan untuk lima tahun akan datang.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/EM/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan