NGO M'sia kumpul RM1.2 juta bantu bayi pramatang dilahirkan di S'pura
Ternyata ada sinar harapan buat bayi pramatang Malaysia yang dilahirkan di Singapura selepas kutipan derma kilat yang dilancarkan di Malaysia bagi membiayai kos perubatannya berjaya mengumpul RM1.2 juta (S$390,000) dalam tempoh 29 jam.
Bayi pramatang pasangan ini hanya seberat 670gram. (Gambar: One Hope Charity & Welfare - 大山脚瑶池金母慈善基金会/Facebook)
SINGAPURA: Ternyata ada sinar harapan buat bayi pramatang Malaysia yang dilahirkan di Singapura selepas kutipan derma kilat yang dilancarkan di Malaysia bagi membiayai kos perubatannya berjaya mengumpul RM1.2 juta (S$390,000) dalam tempoh 29 jam.
"Ibu bapa dan orang ramai dari seluruh dunia memberi semangat kepada bayi yang dilahirkan ketika kandungan berusia 24 minggu itu agar dia berpeluang untuk terus hidup," demikian menurut badan bukan kerajaan (NGO) One Hope Charity & Welfare yang berpangkalan di Pulau Pinang ketika mengumumkan kejayaan kutipan derma itu.
Menurut pemerhatian agensi berita Bernama, kutipan derma yang diumumkan pada Ahad (28 Feb) dalam portal NGO berkenaan, berakhir pada kira-kira 5.45 petang semalam (1 Mac) selepas mencapai matlamatnya.
One Hope Charity & Welfare menerusi catatan Facebooknya menyatakan, bayi pramatang yang dinamakan Eloise Ang Xuan Rui itu masih menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk terus hidup sehingga ke saat ini.
(Gambar-gambar: One Hope Charity & Welfare - 大山脚瑶池金母慈善基金会/Facebook)
"Perkembangan pertumbuhan bayi itu adalah positif, berat badannya meningkat secara beransur-ansur dan sudah boleh diinkubasi dengan selamat sehingga proses tumbesarannya lengkap.
IBU BAPA TIDAK MAMPU BIAYA KOS SEPENUHNYA
"Jika keadaannya stabil, hospital yang merawatnya ketika ini boleh mengatur untuk memindahkan bayi berkenaan ke hospital di Malaysia untuk pemerhatian," menurut NGO itu lagi.
Ia turut berkongsi beberapa keping gambar Eloise yang memaparkan tubuhnya penuh berselirat dengan tiub.
Bayi perempuan itu dilahirkan hanya seberat 670 gram dengan saiz badan sebesar tapak tangan.
Menurut One Hope Charity, kos perubatan untuk bayi itu dianggarkan sebanyak S$400,000 atau RM1.25 juta sedangkan ibu bapanya, yang bekerja di Singapura, hanya mampu menyediakan RM50,000 (S$16,300).
Ibu bayi itu, Koh Pei Ying, 29, melahirkan Eloise pada 22 Feb lalu selepas mengalami sakit perut sejak 19 Feb.
BANYAK ORGAN BAYI BELUM TERBENTUK
One Hope Charity menyatakan Eloise, yang kini berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) bagi inkubasi selama kira-kira 160 hari, dilahirkan ketika kandungan berusia kurang 28 minggu. Oleh itu dia dianggap sebagai bayi ‘micro preemie.’
“Kulitnya hampir telus sehingga aliran darahnya dapat dilihat dengan mata kasar. Dia bukan sahaja harus dijaga dengan teliti malah perlu sentiasa dipantau meskipun jika berlaku perubahan paling kecil.
“Oleh kerana dia dilahirkan pada usia kehamilan 24 minggu, banyak organnya belum terbentuk sepenuhnya termasuk paru-paru dan otak,” menurut NGO itu tanpa mendedahkan nama hospital di Singapura di mana bayi itu ditempatkan.
One Hope Charity, yang melancarkan kempen kutipan derma kilat pada 28 Feb, menyatakan bahawa langkah itu mencetuskan kesan yang besar di seluruh dunia.
"Sumbangan bukan hanya diterima daripada para dermawan di Malaysia malah dari Singapura, Brunei, Taiwan, Amerika Syarikat dan banyak negara lain, yang mendoakan kesejahteraan bayi pramatang dengan semangat juang tinggi itu," menurut NGO itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.