Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

NGO berbelah bagi terhadap keputusan Taliban larang wanita bekerja dengan badan kemanusiaan

Anggaran Waktu Membaca:
KABUL: Badan-badan amal menyatakan mereka terpaksa membuat keputusan yang sukar oleh Taliban yang melarang wanita Afghanistan daripada bekerja dengan pertubuhan-pertubuhan bukan untuk mengaut keuntungan (NGO).

Larangan tersebut dikhuatiri akan menjejas usaha menyelamatkan nyawa.

NGO-NGO di Afghanistan memainkan peranan yang penting dalam usaha menangani salah satu krisis kemanusiaan yang paling dahsyat di dunia di mana hampir separuh penduduk negara itu mengalami kebuluran dan tiga juta kanak-kanak berisiko kekurangan zat.

"Mustahil untuk kami meneruskan usaha di negara ini jika kami tidak mempunyai kaum wanita yang bekerja dalam pertubuhan kami di setiap peringkat," Samira Sayed-Rahman, pegawai kanan Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC), memberitahu AFP.

Sekitar 1,260 NGO menjalankan operasi di seluruh Afghanistan, dengan beribu-ribu wanita bekerja dalam sektor jagaan kesihatan, pendidikan, pengurusan air dan sanitasi.

IRC merupakan salah satu NGO, bersama dengan CARE dan Save the Children, yang sudah menggantung operasi masing-masing sedang mereka menggesa pihak Taliban supaya menarik balik larangan tersebut.

Dasar Taliban yang dianggap berbentuk diskriminasi itu akan menyaksikan beribu-ribu wanita kehilangan pekerjaan dan ramai lagi terputus bantuan, menurut para pekerja.

BANTUAN DARI WANITA KE WANITA

Dalam sebuah masyarakat yang sangat konservatif dan bersifat patriaki, kaum wanita tidak dibenarkan bercakap dengan lelaki yang bukan mahram mereka.

Maka itu, wanita memainkan peranan penting dalam operasi memberi bantuan, terutama sekali untuk mengenal pasti wanita yang memerlukan, kata Reshma Azmi, timbalan ketua daerah bagi CARE di Afghanistan.

Para pegawai pemerintah mendakwa larangan tersebut dikuatkuasakan kerana sesetengah kaum wanita tidak mematuhi peraturan Taliban untuk memakai hijab atau ditemani mahram mereka apabila keluar rumah atau melakukan perjalanan.

Sungguhpun demikian, sesetengah pekerja amal memberitahu AFP bahawa mereka tidak menerima sebarang amaran mengenai melanggar norma-norma budaya negara itu.

DI AMBANG KEBULURAN

Afghanistan, yang hampir sepenuhnya bergantung kepada bantuan, menyaksikan ekonominya di ambang kehancuran sejak Taliban mengambil alih kuasa pada Ogos 2021, dengan Washington membekukan aset-aset Afghanistan bernilai berbilion-bilion dolar.

"Pada musim sejuk yang lalu, bantuan kemanusiaan yang berhasil menghalang kebuluran," kata Cik Sayed Rahman.

"Jika kita tidak boleh menghantar bantuan seperti dahulu, kami akan berdepan dengan situasi yang sangat dahsyat di seluruh negara ini," tambahnya.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan