Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

New Zealand umum pelitup, ujian percuma sedang sistem kesihatan lawan COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
New Zealand umum pelitup, ujian percuma sedang sistem kesihatan lawan COVID-19
Para penduduk di Wellington, New Zealand. (Gambar fail: AP)
Diterbitkan : 14 Jul 2022 02:21PM Dikemas Kini : 14 Jul 2022 08:40PM

WELLINGTON: Pemerintah New Zealand pada Khamis (14 Jul) mengumumkan akan mengedarkan pelitup dan menjalankan ujian antigen pantas percuma sedang ia cuba untuk membendung penularan COVID-19 dan melegakan tekanan terhadap sistem kesihatan negara yang sedang berdepan dengan kenaikan jumlah pesakit koronavirus dan demam selesema biasa. 

Jumlah kes baru COVID-19 di New Zealand naik ketara baru-baru ini dan pihak berkuasa meramalkan bahawa gelombang Omicron ini mungkin lebih teruk berbanding yang sebelumnya. 

Sistem hospital sedang mengalami tempoh menunggu yang lebih lama dan pembedahan yang terpaksa dibatalkan, lapor Reuters. 

"Tiada persoalan bahawa gabungan lonjakan kes COVID-19 dan pesakit di hospital, musim demam selesema paling teruk dan kekurangan pekerja meletakkan petugas kesihatan dan seluruh sistem kesihatan di bawah tekanan yang teramat tinggi," kata Menteri bagi Tindakan COVID-19 Ayesha Verrall dalam satu kenyataan. 

New Zealand yang mempunyai 5.1 juta penduduk, melaporkan 11,382 kes baru COVID-19 pada Khamis (14 Jul), membawa jumlah pesakit yang kini sedang dijangkiti virus itu kepada 68,737. Daripada jumlah tersebut, 765 pesakit dirawat di hospital. 

New Zealand yang sebelum ini dipuji dalam pengurusan koronavirus, berjaya memastikan negaranya bebas COVID-19 sehingga hujung tahun lalu dengan tindak balas respons yang pantas kepada pandemik dan pengasingan diri. 

Namun, pemerintah memansuhkan dasar sifar COVID awal tahun ini apabila sebilangan besar penduduk sudah divaksin dan virus itu dibenarkan merebak. 

Cik Verrall berkata, meskipun sifar COVID tidak boleh lagi dicapai, orang ramai perlu memakai pelitup, menjalani ujian dan mengasingkan diri sekiranya mereka atau anggota serumah mereka diuji positif COVID-19. 

Pemerintah menyediakan pelitup percuma dan memastikan ujian COVID-19 sedia ada di lebih banyak tempat, sekali gus membenarkan farmasi untuk menjual ubat-ubatan COVID-19 dan meluaskan kriteria bagi mereka yang layak untuk menerima ubat antivirus itu. 

"Ini bukanlah masanya untuk berhenti memakai pelitup. Bukti sudah menunjukkan bahawa pemakaian pelitup boleh mengurangkan sebanyak 50 peratus peluang anda dijangkiti COVID-19. Ia juga membantu melindung anda daripada demam selesema dan penyakit musim sejuk yang lain. Oleh itu, jika anda tidak memakai pelitup untuk diri sendiri, harap pakai pelitup untuk petugas jagaan kesihatan kita," ujar Cik Verrall.

Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa