Skip to main content

Dunia

New Zealand sahkan kes pertama selesema burung H5N1 dikesan pada burung tempatan

Anggaran Waktu Membaca:
 New Zealand sahkan kes pertama selesema burung H5N1 dikesan pada burung tempatan

Gambar mikroskop elektron berwarna yang dikeluarkan oleh Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan pada 26 Mac 2024 menunjukkan zarah virus selesema burung A H5N1 (kuning), yang dibiakkan dalam sel epitelium Buah Pinggang Anjing Madin-Darby (MDCK) (biru). (Gambar: AP/CDC/NIAID)

Diterbitkan : 17 Jul 2026 02:14PM
  • New Zealand mengesan kes pertama selesema burung H5N1 pada burung tempatan, selepas kes awal melibatkan burung hijrah.
  • Seekor helang harrier paya dijangkiti di Wairarapa, manakala kes pertama dikesan pada burung brown skua berhampiran Wellington.
  • Menteri Andrew Hoggard menyatakan tiada jangkitan pada haiwan ternakan setakat ini, dan langkah pencegahan sedang diambil.
  • Pegawai kesihatan memulakan vaksinasi untuk 300 burung daripada lima spesies terancam, termasuk takahe dan kakapo, bagi mengawal penularan.
Dijana oleh AI
NEW ZEALAND: New Zealand pada Jumaat (17 Jul) mengesan kes pertama jangkitan selesema burung H5N1 yang membawa maut pada burung tempatan, beberapa hari selepas mengesahkan seekor burung hijrah diuji positif dalam kes pertama penyakit itu yang direkodkan di negara tersebut.

Seekor burung helang harrier paya, yang dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai kahu ditemui di wilayah Wairarapa di North Island, yang dijangkiti virus tersebut, kata Menteri Keselamatan Biologi Andrew Hoggard dalam satu kenyataan.

New Zealand melaporkan pengesanan pertama penyakit itu pada Rabu (15 Jul), melibatkan seekor burung brown skua yang ditemui berhampiran Wellington.

"Walaupun kami kecewa kerana menemui burung tempatan yang dijangkiti selesema burung H5, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan menyusuli pengesahan kes pertama tersebut pada awal minggu ini," kata Encik Hoggard.

"Helang ini boleh terbang ke kawasan pantai - terutama sekali semasa musim sejuk untuk memburu. Burung helang boleh dijangkiti selesema burung dengan cara memburu, memakan, atau memakan bangkai burung yang terjangkit."

Beliau berkata setakat ini tiada sebarang pengesanan selesema burung melibatkan haiwan ternakan.

Para pegawai kesihatan memulakan program vaksinasi untuk 300 ekor burung pembiakan utama daripada lima spesies paling terancam di negara itu, termasuk burung takahe dan kakapo yang tidak boleh terbang.

Pada awal bulan ini, Australia turut melaporkan kes pertama penyakit tersebut yang dikesan pada burung tempatan. Semua kes sebelum ini hanya melibatkan burung-burung hijrah.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita