Skip to main content

Dunia

New Zealand peringati 7 tahun selepas tragedi Christchurch

Anggaran Waktu Membaca:
New Zealand peringati 7 tahun selepas tragedi Christchurch

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 15 Mar 2026 11:01PM

ISTANBUL: Majlis peringatan diadakan di Christchurch bagi memberi penghormatan kepada mangsa serangan pengganas di dua buah masjid yang mengorbankan puluhan jemaah, tujuh tahun lalu, lapor Anadolu Ajansi.

Seramai 51 orang terkorban manakala 40 lagi cedera dalam serangan di Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood pada 15 Mac 2019, yang merupakan kejadian tembakan rambang paling mengerikan dalam sejarah New Zealand.

Menukil laporan agensi berita tempatan 1News, acara dimulakan dengan perarakan “Walk the Talk for Unity” di Jambatan Peringatan di pusat bandar, anjuran Sakinah Community Trust iaitu sebuah kumpulan yang diasaskan oleh balu-balu mangsa tragedi berkenaan.

Satu majlis peringatan kemudian diadakan di Peace Bell, taman botani, yang dimulakan dengan bertafakur selama seminit diikuti bacaan nama 51 mangsa yang terkorban. Majlis diakhiri dengan upacara meletakkan kalungan bunga.

Serangan nekad itu dilakukan oleh pelampau kulit putih warga Australia, Brenton Tarrant, di Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood semasa solat Jumaat sedang berlangsung.

Pada 2020, Tarrant dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan dibebaskan, iaitu hukuman pertama seumpamanya yang pernah dijatuhkan di negara kepulauan itu.

Perdana Menteri Christopher Luxon dalam ucapannya memberi penghormatan kepada para mangsa dan mengatakan bahawa Christchurch serta New Zealand “menunjukkan kepada dunia kekuatan, kasih sayang, dan perpaduan dalam menghadapi tragedi” tujuh tahun lalu.

Encik Luxon turut berikrar untuk terus “membina sebuah negara di mana setiap orang dapat hidup dalam keamanan dan keselamatan.”
 

Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita