New Zealand mansuh perintah berkurung COVID-19 awal Disember
New Zealand akan menamatkan perintah berkurung selama tiga setengah bulan di Auckland, iaitu bandar terbesar di negara itu, awal bulan depan sedang ia melaksanakan strategi baru kawalan COVID-19, umum Perdana Menteri Jacinda Ardern pada Isnin (22 Nov).

(Gambar fail: AFP/Marty Melville)
WELLINGTON: New Zealand akan menamatkan perintah berkurung selama tiga setengah bulan di Auckland, iaitu bandar terbesar di negara itu, awal bulan depan sedang ia melaksanakan strategi baru kawalan COVID-19.
Demikian kata Perdana Menteri Jacinda Ardern hari ini (22 Nov).
Cik Ardern berkata mulai pukul 11.59 malam pada 2 Disember, New Zealand akan melaksanakan respons baru COVID-19 - yang pertama kali dibentangkan bulan lalu - bertujuan untuk mengekang varian Delta yang sangat mudah berjangkit dan bukannya cuba menghapuskannya sama sekali.
"Hakikat yang sukar diterima adalah Delta ada di sini dan tidak akan pergi," katanya kepada para wartawan.
"Walaupun tiada negara dapat menghapuskan Delta sepenuhnya, New Zealand berada pada kedudukan yang lebih baik berbanding kebanyakan negara untuk menanganinya."
Setakat ini, respons koronavirus Cik Ardern cuba mencapai tahap "sifar COVID", menerusi sekatan ketat, pengesanan kontak yang menyeluruh dan kawalan sempadan yang ketat.
Walaupun pendekatan itu berjaya menghadkan angka kematian kepada hanya 40 orang dalam penduduk seramai lima juta, tekanan kian meningkat untuk menamatkan perintah berkurung di Auckland, yang dikenakan pada pertengahan Ogos apabila varian Delta pertama kali dikesan.
Cik Ardern pada awalnya merancang untuk melaksanakan sistem baru itu apabila kadar vaksinasi di negara mencapai 90 peratus, namun menetapkan tarikh pembukaan 2 Disember walaupun kadar vaksinasi setakat ini sekitar 83 peratus.
Ketua Pengarah Kesihatan Ashley Bloomfield berkata beliau selesa dengan perubahan besar dasar COVID-19 sejak permulaan pandemik itu.
Di bawah sistem baru "lampu isyarat" tiga peringkat, tahap hijau menandakan hampir tiada kawalan virus, manakala merah bermakna perniagaan boleh terus dibuka tetapi pelanggan mestilah sudah divaksin dan mematuhi langkah jarak selamat.
"Perbezaan utama antara kedua-dua sistem adalah pas vaksin akan diwajibkan tidak lama lagi di tempat-tempat seperti bar, gim dan restoran," jelas Cik Ardern.
Beliau berkata bahawa Auckland pada mulanya akan diletakkan di bawah tahap merah dan para pegawai masih menentukan cara menentukan klasifikasi kawasan-kawasan lain.
Auckland kini dipencilkan daripada seluruh New Zealand, dengan sekatan-sekatan jalan raya dibuka semula pada 15 Disember.
Peraturan kuarantin yang ketat bagi ketibaan antarabangsa akan terus dikekalkan. Namun Cik Ardern komited untuk melonggarkannya awal tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.