New Zealand haramkan permainan video agungkan serangan masjid Christchurch
Ketua Penapis New Zealand pada Khamis (31 Okt) berkata beliau mengharamkan sebuah permainan video yang kelihatan mengagungkan serangan pengganas di Christchurch awal tahun ini yang membunuh 51 jemaah.

Masjid Al Noor di Christchurch, New Zealand. (Gambar: AFP/William West)
WELLINGTON: Ketua Penapis New Zealand pada Khamis (31 Okt) berkata beliau mengharamkan sebuah permainan video yang kelihatan mengagungkan serangan pengganas di Christchurch awal tahun ini yang membunuh 51 jemaah.
Dalam serangan yang disiarkan langsung di Facebook, penembak berseorangan bersenjatakan senapang separa-automatik itu menyasarkan jemaah solat Jumaat di dua masjid di Christchurch pada 15 Mac, membunuh 51 orang dan mencederakan puluhan yang lain.
Warga Australia Brenton Tarrant, seorang suspek penyokong tegar kuasa kulit putih, didakwa atas serangan tersebut dan akan dibicarakan tahun depan.
Ketua Penapis David Shanks berkata sebuah permainan video yang mengagungkan siaran langsung pembunuhan beramai-ramai itu sudah diklasifikasikan sebagai tidak boleh diterima.
"Pereka permainan itu bertujuan menghasilkan dan menjual permainan di mana pemainnya memainkan peranan seorang pengganas pelampau kulit putih," kata Encik Shanks dalam satu kenyataan.
Encik Shanks sebelum ini mengharamkan penstriman video serangan Christchurch dan manifesto yang dikaitkan dengan tertuduh.
Awal bulan ini, badan penapis itu juga mengharamkan video sepanjang 35 minit berhubung satu serangan berasingan oleh seorang berpandangan anti-Yahudi yang membunuh dua mangsa di Halle, Jerman.
Dokumen yang dikongsi penyerang itu juga diharamkan.
Terdapat pengeluar permainan yang menunjukkan hasrat menghasilkan 'sekumpulan' permainan pelampau kulit putih dan sudahpun menjana pendapatan daripadanya. Para pelanggan dari New Zealand dan merata dunia boleh membeli permainan itu daripada laman pengeluar tersebut, dedah Encik Shanks.
"Pengeluar permainan cuba menggayakan hasil mereka sebagai satira namun permainan ini bukan senda gurau. Ia melampaui batas."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.