Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

New Zealand gugurkan rancangan hapus COVID-19 dek varian Delta berlarutan

New Zealand hari ini (4 Okt) menggugurkan strategi untuk melenyapkan virus korona, dengan melonggarkan beberapa sekatan COVID-19 di bandar terbesarnya, Auckland. Sebaliknya negara itu akan terus hidup dengan virus tersebut sedang ia membendung penularannya.

Anggaran Waktu Membaca:
New Zealand gugurkan rancangan hapus COVID-19 dek varian Delta berlarutan

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 04 Oct 2021 04:17PM Dikemas Kini : 04 Oct 2021 04:19PM

WELLINGTON: New Zealand hari ini (4 Okt) menggugurkan strategi untuk melenyapkan virus korona, dengan melonggarkan beberapa sekatan COVID-19 di bandar terbesarnya, Auckland. Sebaliknya negara itu akan terus hidup dengan virus tersebut sedang ia membendung penularannya.

Negara Pasifik itu adalah antara segelintir negara yang berhasil mengurangkan kes COVID-19 sehingga mencapai angka sifar pada tahun lalu. Ia sebahagian besarnya kekal bebas virus sehingga munculnya varian Delta yang sangat mudah berjangkit pada pertengahan Ogos sekali gus menggagalkan usaha untuk menghentikan penularan tersebut.

"Dengan adanya wabak ini dan varian Delta, usaha untuk kembali ke angka sifar sangat sukar," kata Perdana Menteri Jacinda Ardern dalam satu sidang akhbar.

"Ini merupakan perubahan dalam pendekatan yang mahu kami ambil dalam satu tempoh akan datang. Namun, penularan varian Delta di sini sudah mempercepatkan peralihan ini. Vaksin akan menyokongnya," katanya.

Pihak berkuasa kesihatan melaporkan 29 kes baru COVID-19 hari ini (4 Okt), menjadikan jumlah keseluruhan wabak semasa menjadi 1,357. Sebahagian besar kes berlaku di Auckland, yang di bawah perintah berkurung selama hampir 50 hari.

Di tengah-tengah tekanan yang semakin meningkat, Cik Ardern mengatakan strateginya itu tidak pernah mengharapkan sifar kes, sebaliknya untuk secara agresif membasmi virus tersebut. Beliau mengatakan bahawa sekatan yang ketat akan berakhir setelah 90 peratus penduduk yang layak sudah diberi vaksin.

"Sudah jelas bahawa tempoh sekatan ketat ini tidak membawa kita ke sifar kes. Tetapi tidak mengapa...usaha menghapuskan virus itu penting kerana pada masa itu kita tidak mempunyai vaksinasi. Sekarang kita sudah ada vaksin. Oleh itu, kita boleh mula mengubah cara kita melakukan sesuatu ," beliau berkata.

Penduduk di Auckland akan dapat keluar daripada kediaman mereka untuk berjumpa dengan orang tersayang di luar rumah mulai Rabu (6 Okt), dengan had 10 orang.

Pendidikan awal kanak-kanak juga akan disambung semula dan orang ramai juga dapat keluar untuk beriadah. Namun, sektor runcit, perhotelan dan pejabat masih akan ditutup.

Cik Ardern berkata baki sekatan di Auckland akan dilonggarkan secara berperingkat.

Sumber : Reuters/RB/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan