Skip to main content

Dunia

New Zealand bakal larang kanak-kanak bawah 16 tahun guna media sosial

Anggaran Waktu Membaca:
New Zealand bakal larang kanak-kanak bawah 16 tahun guna media sosial

Aplikasi Instagram, TikTok, Snapchat, YouTube, Facebook, Twitch dan Reddit dipaparkan pada telefon bimbit dalam ilustrasi gambar ini yang diambil pada 9 Disember 2025. (Gambar fail: Reuters/Hollie Adams)

Diterbitkan : 24 Aug 2026 02:05PM
  • Pemerintah gabungan konservatif New Zealand mencadangkan rang undang-undang melarang kanak-kanak bawah 16 tahun menggunakan media sosial, dengan denda besar kepada platform yang ingkar.
  • Rang undang-undang ini mewajibkan platform mengesahkan umur pengguna melalui pelbagai teknologi dan dokumen identiti digital.
  • Perdana Menteri Christopher Luxon menegaskan langkah ini penting untuk melindungi kanak-kanak daripada bahaya media sosial terhadap kesihatan dan pendidikan mereka.
  • Namun, parti New Zealand First menolak cadangan ini, menyatakan tanggungjawab sepatutnya terletak pada ibu bapa dan bimbang kesan undang-undang tersebut.
Dijana oleh AI
SYDNEY: Pemerintah gabungan konservatif New Zealand akan membentangkan rang undang-undang di Parlimen pada Isnin (24 Ogos) bagi melarang kanak-kanak bawah 16 tahun menggunakan media sosial, selain mencadangkan denda sehingga 10 peratus daripada hasil global platform yang gagal mematuhinya.

Rang undang-undang itu akan mewajibkan platform media sosial mengambil langkah munasabah untuk mengesahkan usia pengguna, termasuk menggunakan maklumat akaun sedia ada, teknologi pengecaman wajah dan dokumen identiti digital.

“Kita tidak boleh menerima bahaya yang sedang berlaku terhadap generasi kanak-kanak New Zealand,” kata Perdana Menteri Christopher Luxon dalam kenyataannya.

“Media sosial mendedahkan mereka kepada kandungan berbahaya, teknologi yang menyebabkan ketagihan dan tekanan yang tidak mampu mereka tangani, dan ia menjejas kehidupan keluarga, kesihatan mental, tidur serta pendidikan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, belum jelas sama ada rang undang-undang itu akan mendapat sokongan yang mencukupi untuk diluluskan Parlimen, dengan salah satu rakan gabungan Luxon, parti New Zealand First, menyatakan ia tidak akan menyokongnya.

“Kami bimbang dengan cadangan perundangan itu serta hala tuju dan kesan berbahaya yang pasti dibawa oleh undang-undang seperti ini kepada negara kita,” kata ketua New Zealand First, Winston Peters, yang juga Menteri Luar negara itu, dalam catatan di X.

Pada Disember lalu, Australia menjadi negara pertama di dunia yang melarang kanak-kanak bawah 16 tahun menggunakan media sosial, termasuk TikTok, YouTube milik Alphabet serta Instagram dan Facebook milik Meta.

Encik Peters berkata undang-undang itu merupakan “kegagalan besar”, sambil menambah bahawa tanggungjawab memastikan kanak-kanak tidak menggunakan media sosial sepatutnya terletak pada ibu bapa.

“Saya tidak akan berpura-pura bahawa ia mudah atau sempurna,” kata Encik Luxon dalam satu acara.

“Kami tidak akan dapat menghalang setiap kanak-kanak menggunakan media sosial. Ada yang akan sentiasa mencari jalan untuk mengatasinya, tetapi perkara ini terlalu penting untuk kita tidak sekurang-kurangnya mencubanya.”
Sumber : Reuters/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita