Skip to main content

Dunia

New Zealand bakal kenakan caj pelancongan ke atas pelawat asing di lokasi popular

Anggaran Waktu Membaca:
New Zealand bakal kenakan caj pelancongan ke atas pelawat asing di lokasi popular

Gambar hiasan. (Gambar: iStock)

WELLINGTON: Pemerintah New Zealand akan mula mengenakan caj antara NZ$20 (S$15) dan NZ$40 (S$30) ke atas pelancong asing yang melawat destinasi-destinasi pelancongan utama seperti Milford Track, Aoraki Mount Cook, Tongariro Crossing dan Cathedral Cove, bermula akhir tahun ini.

Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon berkata langkah itu bertujuan untuk menjana pendapatan tambahan sebanyak NZ$62 juta (S$46 juta) setahun yang akan dilaburkan semula ke dalam pemuliharaan dan pembangunan infrastruktur di lokasi-lokasi berkenaan.

“Ramai pelawat asing terkejut apabila mendapati mereka boleh menikmati keindahan semula jadi negara ini secara percuma.

"Sudah tiba masanya mereka menyumbang secara adil,” katanya dalam ucapan di Christchurch pada Sabtu (2 Ogos).

Menurut beliau, pelancong asing merangkumi sehingga 80 peratus daripada jumlah pengunjung di beberapa lokasi tumpuan dan caj tersebut hanya dikenakan di kawasan berimpak tinggi.

Rakyat New Zealand tidak akan dikenakan sebarang bayaran kerana kawasan pemuliharaan dianggap sebagai warisan bersama.

Langkah ini turut disertai dengan pembaharuan Akta Pemuliharaan bagi memudahkan aktiviti perniagaan seperti pelancongan, pertanian dan pembinaan infrastruktur di kawasan pemuliharaan, yang merangkumi satu pertiga daripada keluasan tanah negara itu.

Menteri Pemuliharaan Tama Potaka berkata sistem pengesahan asal pelawat akan diperincikan, termasuk kaedah harga berbeza seperti yang diamalkan dalam laluan Great Walks.

Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan ekonomi pasca kemelesetan, dengan sektor pelancongan dijadikan pemacu utama pertumbuhan.

Pemerintah New Zealand turut merancang untuk memansuhkan visa transit bagi pelancong dari China mulai November ini bagi menarik lebih ramai pelawat.

Bagaimanapun, beberapa pihak seperti Forest & Bird menyuarakan kebimbangan hasil kutipan mungkin tidak disalurkan sepenuhnya kepada pemuliharaan biodiversiti, sebaliknya digunakan untuk perbelanjaan umum pemerintah.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita