Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

New Zealand alami kemelesetan terbesar sejak 1987 susuli langkah sekatan COVID-19

Susulan sekatan COVID-19 yang ketat, New Zealand mengalami kemelesetan apabila ekonomi negara menyusut 12.2 peratus pada suku tahun berakhir pada Jun, satu rekod penurunan sejak 1987, lapor media rasmi pada Khamis (17 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
New Zealand alami kemelesetan terbesar sejak 1987 susuli langkah sekatan COVID-19

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 17 Sep 2020 05:41PM Dikemas Kini : 17 Sep 2020 05:44PM

NEW ZEALAND: Susulan sekatan COVID-19 yang ketat, New Zealand mengalami kemelesetan apabila ekonomi negara menyusut 12.2 peratus pada suku tahun berakhir pada Jun, satu rekod penurunan sejak 1987, lapor media rasmi pada Khamis (17 Sep).

Perangkaan rasmi menunjukkan keluaran dalam negara kasar (GDP) menjunam 12.2 peratus mengikut musim untuk tiga bulan sehingga Jun, lapor agensi Anadolu menurut Radio New Zealand (RNZ).

Negara itu mengalami kemerosotan terbesar sejak New Zealand memperkenalkan sistem pengukuran data semasa pada 1987.

"Industri seperti peruncitan, penginapan dan restoran, dan pengangkutan menyaksikan penurunan pengeluaran yang ketara kerana mereka terjejas secara langsung oleh larangan perjalanan antarabangsa dan sekatan pergerakan yang ketat di seluruh negara," lapor RNZ memetik pengurus kanan Stats NZ, Paul Pascoe.

Perbelanjaan domestik isi rumah juga merosot 12 peratus. Secara tahunan, GDP turun 2 peratus - penurunan tahunan pertama sejak suku tahun berakhir pada Mac 2010.

Industri perkhidmatan jatuh 10.9 peratus, dengan perbelanjaan pengguna menjunam lebih 25 peratus, lapor RNZ.

Menteri Kewangan Grant Robertson berkata perangkaan terkini itu telah dijangka ekoran sekatan ketat pemerintah untuk membendung COVID-19.

"Penurunan ekonomi yang ketara tidak mengejutkan, tetapi langkah-langkah pemerintah seperti subsidi gaji, pinjaman perniagaan, dan skim-skim lain telah mengurangkan kesan dan menjadi dasar untuk pemulihan," kata Encik Robertson.

"Pelaksanaan secara bersungguh-sungguh dan lebih awal bermakna kita dapat kembali pulih dengan lebih cepat dan kukuh," tambah beliau seperti dipetik oleh media rasmi.

Kemerosotan ekonomi New Zealand lebih tinggi daripada Australia yang mencatat kemerosotan 7 peratus dan Kanada 11.5 peratus, tetapi kurang daripada United Kingdom dan India.

Pada Mac, Perdana Menteri Jacinda Ardern meletakkan negaranya di bawah sekatan pergerakan diperketat selama sebulan ekoran wabak COVID-19.

New Zealand setakat ini mencatatkan 1,809 kes dengan 25 kematian, manakala 1,707 pesakit telah pulih, menurut kementerian kesihatan.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan