Skip to main content

Dunia

New York wajibkan vaksin bendung penularan campak

Datuk Bandar New York mengisytiharkan kecemasan kesihatan umum di beberapa bahagian Brooklyn berikutan penularan kes campak.

Anggaran Waktu Membaca:
New York wajibkan vaksin bendung penularan campak

(Gambar: Johannes Eisele/AFP)

Diterbitkan : 10 Apr 2019 03:46PM Dikemas Kini : 10 Apr 2019 03:51PM

NEW YORK: Datuk Bandar New York mengisytiharkan kecemasan kesihatan umum di beberapa bahagian Brooklyn berikutan penularan kes campak.

Encik Bill De Blasio mengarahkan para penduduk supaya mendapatkan suntikan vaksin cegah campak.

Turut diumumkan, peraturan baru mengenakan denda AS$1,000 (S$1,353) ke atas sesiapa yang belum atau tiada bukti telah mendapatkan suntikan itu.

“Ini adalah masa mengambil pendekatan lebih tegas.

“Ini boleh berubah dengan pantas. Kita boleh menghentikannya,” kata Encik de Blasio dalam sidang akhbar ketika langkah itu diumumkan.

Kes penyakit campak di New York terutama sekali di kawasan Brooklyn, semakin bertambah sejak Oktober lalu kepada 285 kes sekarang.

Ia berbanding hanya dua kes campak pada tahun 2017.

Penularan campak di Brooklyn tertumpu di kawasan masyarakat Yahudi ultra-Orthodox, yang menyaksikan beberapa penduduk menentang vaksin atas alasan agama.

Kes penularan di Brooklyn dikesan berpunca dari seorang kanak-kanak yang dijangkitinya semasa bercuti di Israel.

Penyakit campak menyebabkan cirit-birit, radang paru-paru dan mungkin kematian.

Daripada 285 kes campak yang dicatatkan, 21 pesakit perlu dimasukkan ke hospital manakala lima dalam unit jagaan rapi ICU.

Majoriti kes campak di New York itu melibatkan pesakit yang tidak mendapatkan vaksin campak.

Di wilayah Rockland dekat New York, satu keadaan darurat 30 hari diisytiharkan selepas 168 orang dijangkiti campak.

Para pakar percaya keadaan sekarang dapat dikawal jika lebih ramai penduduk mendapatkan suntikan vaksin campak.

Amerika diisytiharkan bebas campak sejak tahun 2000 tetapi jumlah orang yang mendapatkan vaksin semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.

Seperti banyak negeri lain di Amerika, New York mewajibkan siri vaksin kepada pelajar tetapi memberikan pengecualian atas alasan kesihatan dan agama. 

Sumber : AFP/AA/SU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita