Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

New York isytihar cacar monyet kecemasan kesihatan awam

Anggaran Waktu Membaca:
New York isytihar cacar monyet kecemasan kesihatan awam

(Gambar: AP/Mary Altaffer)

Diterbitkan : 31 Jul 2022 01:53PM Dikemas Kini : 31 Jul 2022 01:53PM
NEW YORK: Para pegawai di New York pada Sabtu (30 Jul), mengisytiharkan cacar monyet sebagai keadaan kecemasan kesihatan awam dengan menggelar bandar itu sebagai "pusat" penularan penyakit tersebut.

Menurut Datuk Bandar Eric Adams dan pesuruhjaya kesihatan Ashwin Vasan seramai 150,000 penduduk bandar mungkin berisiko dijangkiti.

Pengisytiharan itu akan membolehkan pihak berkuasa mengeluarkan perintah darurat di bawah kod kesihatan bandar dan meminda peruntukan kod untuk melaksanakan langkah-langkah membantu membendung penularan.

Sejak dua hari lalu, Gabenor New York, Kathy Hochul membuat pengisytiharan darurat dalam negeri manakala jabatan kesihatan negeri menggelar cacar monyet sebagai "ancaman segera kepada kesihatan awam".

New York mengesahkan 1,345 kes setakat Jumaat (29 Jul), menurut data yang dikumpulkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit. California mempunyai jumlah kes kedua terbanyak, iaitu 799.

"Kami akan terus bekerjasama dengan rakan kerja di peringkat persekutuan untuk mendapatkan lebih banyak (vaksin) dos sebaik sahaja ia tersedia," kata Encik Adams dan Encik Vasan dalam kenyataan itu.

"Penularan ini mesti ditangani segera, dengan tindakan dan sumber di peringkat nasional dan global. Pengisytiharan kecemasan kesihatan awam ini menunjukkan betapa serius keadaan tersebut."
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan cacar monyet kecemasan kesihatan global pada 23 Julai.

Penyakit itu sudah berdekad lamanya dikesan di bahagian Afrika Tengah dan Barat, namun tidak diketahui mencetuskan penularan besar di luar benua itu atau merebak secara meluas dalam kalangan penduduk sehingga Mei, apabila pihak berkuasa mengesan berpuluh-puluh jangkitan di Eropah, Amerika Utara dan tempat lain.

Sehingga kini, terdapat lebih 22,000 kes cacar monyet dilaporkan di hampir 80 negara sejak Mei, dengan kira-kira 75 kematian di Afrika, kebanyakannya di Nigeria dan Congo.

Pada Jumaat, Brazil dan Sepanyol melaporkan kematian yang dikaitkan dengan cacar monyet, yang pertama dilaporkan di luar Afrika. Sepanyol melaporkan kematian kedua akibat cacar monyet pada Sabtu.

Virus itu merebak melalui sentuhan kulit yang berpanjangan dan rapat serta berkongsi alas tempat tidur, tuala dan pakaian.

Di Eropah dan Amerika Utara, ia merebak terutamanya dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, walaupun pegawai kesihatan menekankan virus itu boleh menjangkiti sesiapa sahaja.

Jenis virus cacar monyet yang dikenal pasti dalam penularan sekarang ini jarang membawa maut, dan pesakit biasanya pulih dalam beberapa minggu.
Sumber : Agensi berita/SU/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa