Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Neuralink Elon Musk dapat kelulusan FDA kaji implan otak dalam manusia

Anggaran Waktu Membaca:
SAN FRANCISCO: Syarikat implan otak milik Elon Musk, Neuralink, pada Khamis (25 Mei) memaklumkan pihaknya sudah menerima kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) untuk menjalankan kajian klinikal pertama melibatkan manusia.

Sekurang-kurangnya empat kali sejak 2019, Musk meramalkan syarikat peranti perubatannya tidak lama lagi akan memulakan ujian ke atas manusia berhubung implan otak bagi merawat penyakit sukar dikawal seperti lumpuh dan buta.

Bagaimanapun, syarikat yang diasaskan pada 2016 itu tidak memohon kebenaran FDA sehingga awal 2022, dan ditolak agensi itu, kata tujuh individu yang masih atau pernah bekerja di Neuralink kepada Reuters pada Mac lalu.

Kelulusan FDA diperolehi apabila ahli Parlimen AS menggesa pengawal selia awal bulan ini supaya menyiasat sama ada anggota panel yang mengawasi ujian haiwan di Neuralink menyebabkan eksperimen yang gagal dan ujian dilakukan secara tergesa-gesa.

Neuralink sebelum ini sudah pun menjadi subjek siasatan pihak persekutuan.

Pada 5 Disember, Reuters melaporkan Ketua Inspektor Jabatan Pertanian AS (USDA) sedang menyiasat, atas permintaan pendakwa raya Persekutuan, potensi pelanggaran Akta Kebajikan Haiwan yang mengawal kaedah penyelidik merawat dan menguji jenis haiwan tertentu.

Siasatan juga meneliti pengawasan USDA terhadap Neuralink.

Sementara itu, Neuralink, dalam satu hantaran di Twitter pada Khamis menyatakan bahawa syarikat itu belum terbuka untuk menjalankan ujian klinikal.

"Ini adalah hasil kerja pasukan Neuralink dengan kerjasama rapat bersama FDA dan mewakili langkah penting pertama yang suatu hari nanti akan membolehkan teknologi kami membantu ramai orang," menurut Neuralink dalam satu ciapan Twitter semalam.

Neuralink sedang mencipta implan otak yang diharap berupaya membantu orang lumpuh berjalan semula dan menyembuhkan penyakit saraf lain termasuk mereka yang buta.

FDA tidak memberikan komen sewaktu ditanya Reuters.
Sumber : Reuters/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan