Skip to main content

Dunia

Netanyahu umum Israel akan sambung semula rundingan Gaza untuk tamatkan perang dan bebaskan tebusan

Anggaran Waktu Membaca:
Netanyahu umum Israel akan sambung semula rundingan Gaza untuk tamatkan perang dan bebaskan tebusan

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menghadiri upacara sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat di Baitulmakdis pada 13 Ogos 2025 (Gambar: REUTERS/Ronen Zvulun/Pool)

Diterbitkan : 22 Aug 2025 07:23AM Dikemas Kini : 22 Aug 2025 07:36AM
BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata pada Khamis (21 Ogos) bahawa Israel akan segera menyambung semula rundingan bagi membebaskan semua tebusan yang ditahan di Gaza dan menamatkan perang hampir dua tahun dengan Hamas, tetapi dengan syarat-syarat yang diterima oleh Israel.

Ia merupakan respons pertama Encik Netanyahu terhadap saranan gencatan senjata sementara yang dikemukakan oleh Mesir dan Qatar yang diterima Hamas pada Isnin (18 Ogos). Israel akan menghantar para perundingnya ke meja rundingan sebaik sahaja lokasi ditetapkan, kata seorang pegawai Israel.

Bercakap kepada para askar berhampiran sempadan Israel dengan Gaza, Encik Netanyahu berkata beliau masih bersedia untuk meluluskan rancangan bagi menumpaskan Hamas dan menakluki Gaza City, kawasan padat penduduk di tengah-tengah wilayah Palestin itu.

Beribu-ribu rakyat Palestin telah meninggalkan rumah mereka sedang kereta kebal Israel semakin menghampiri Gaza City sejak 10 hari lalu.

"KAMI DALAM FASA MEMBUAT KEPUTUSAN"

"Pada masa yang sama, saya telah mengeluarkan arahan untuk memulakan rundingan segera bagi membebaskan semua tebusan dan menamatkan perang mengikut syarat-syarat yang boleh diterima oleh Israel," kata Encik Netanyahu sambil menambah: "Kami sedang dalam fasa membuat keputusan."

Rancangan Israel untuk merampas Gaza City telah diluluskan bulan ini oleh kabinet keselamatan, yang dipengerusikan oleh Encik Netanyahu, walaupun ramai sekutu Israel telah menggesa pemerintah negara itu untuk menimbangkan semula keputusan tersebut.

Kenyataan terbaharu beliau mencerminkan pendirian pemerintah Israel bahawa sebarang perjanjian perlu memastikan pembebasan kesemua 50 tebusan yang diculik di Israel pada Oktober 2023 dan masih ditahan oleh Hamas di Gaza. Para pegawai Israel percaya sekitar 20 tebusan masih hidup.

Saranan yang diusulkan itu memerlukan gencatan senjata selama 60 hari dan pembebasan 10 tebusan hidup yang ditahan di Gaza oleh Hamas dan 18 mayat diserahkan kepada Israel. Israel pula akan membebaskan kira-kira 200 tawanan Palestin yang yang ditahan oleh Israel.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita