Skip to main content

Dunia

Netanyahu umum barah prostatnya berjaya dirawat

Anggaran Waktu Membaca:
Netanyahu umum barah prostatnya berjaya dirawat

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semasa sidang media, di tengah-tengah konflik Amerika-Israel dengan Iran, di Baitulmakdis, pada 19 Mac 2026. (Gambar: Reuters/Ronen Zvulun)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 25 Apr 2026 09:03AM
TEL AVIV: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata pada Jumaat (24 Apr) bahawa beliau telah menerima rawatan yang berjaya menangani barah prostat peringkat awal, tanpa menyatakan bila rawatan itu dijalankan.

Dalam kenyataannya di media sosial, sedang laporan perubatan tahunannya dikeluarkan, Encik Netanyahu, 76 tahun, berkata tumor peringkat awal yang kecil telah ditemui semasa menjalani pemeriksaan rutin. Beliau berkata "rawatan yang bersasar" telah menghapuskan "masalah" itu dan tidak meninggalkan sebarang kesan.

Menurut laporan perubatannya, yang menyatakan bahawa Encik Netanyahu berada dalam keadaan sihat, telah dirawat dengan terapi radiasi untuk barah prostat peringkat awal. Laporan perubatan mahupun Encik Netanyahu sendiri tidak menyatakan bila rawatan itu dijalankan.

Perdana Menteri Israel yang paling lama berkhidmat itu berkata bahawa beliau telah menangguhkan pengumuman laporan perubatannya selama dua bulan untuk mengelakkan Iran daripada menyebarkan "propaganda palsu terhadap Israel".

Pada Mac lalu, semasa pertempuran dengan Iran, khabar angin bertiup kencang disiarkan oleh media pemerintah Iran yang mendakwa bahawa Encik Netanyahu sudah meninggal dunia. Pemimpin Israel itu merakam video dirinya melawat sebuah kafe di Baitulmakdis pada Mac untuk menyangkal dakwaan tersebut.

Kempen Amerika-Israel menentang Iran telah dihentikan buat sementara waktu sejak gencatan senjata selama dua minggu dikuatkuasakan lebih dua minggu lalu.

Encik Netanyahu telah dimasukkan ke hospital beberapa kali sejak kembali memegang jawatan tersebut pada Disember 2022, menurut pejabatnya.

Pada Mac 2024, beliau menjalani pembedahan hernia, sebelum menjalani pembedahan prostat yang membesar pada Disember tahun yang sama.

Pada Julai 2023, kurang tiga bulan sebelum bermulanya perang Gaza yang dicetuskan oleh serangan mengejut Hamas ke atas Israel, Encik Netanyahu telah memasang alat pacu jantung selepas dimasukkan ke hospital berikutan aduan pening kepala.

Pilihan raya dijadualkan diadakan di Israel menjelang Oktober.
Sumber : Agensi berita/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita