Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Netanyahu umum akan lawat Bahrain "tidak lama lagi"

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata pada Selasa (24 Nov) beliau akan lakukan lawatan ke Bahrain "tidak lama lagi" atas undangan Putera Mahkota Salman al-Khalifa.

Anggaran Waktu Membaca:
Netanyahu umum akan lawat Bahrain "tidak lama lagi"

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 24 Nov 2020 10:03PM Dikemas Kini : 24 Nov 2020 10:11PM

BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata pada Selasa (24 Nov) beliau akan lakukan lawatan ke Bahrain "tidak lama lagi" atas undangan Putera Mahkota Salman al-Khalifa.

Bahrain mengikuti langkah Amiriah Arab Bersatu untuk membentuk hubungan rasmi dengan Israel dalam perjanjian yang diatur Amerika Syarikat. Ia merubah jalinan strategik Timur Tengah yang memberi kesan ke atas Iran dan mencetuskan kemarahan rakyat Palestin yang menuntut sebuah negara berdaulat adanya perjanjian untuk pulih semula hubungan serantau seperti itu.

"Kami berdua sangat gembira untuk membawa hasil perdamaian kepada rakyat dan negara-negara kami dalam waktu yang singkat ini. Itulah sebabnya beliau (Putera al-Khalifa) menjemput saya untuk segera lakukan lawatan rasmi ke Bahrain dan saya akan melakukan ini dengan senang hati," kata Encik Netanyahu dalam satu kenyataan mengenai panggilan telefon antara beliau dengan putera mahkota itu.

Rombongan pertama dari Bahrain melakukan lawatan ke Israel pada Rabu lalu.

Pada Isnin, seorang pegawai Israel dan media tempatan melaporkan PM Netanyahu secara rahsia melakukan perjalanan ke Arab Saudi pada Ahad untuk mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo dalam lawatan pertama ke Saudi oleh seorang pemimpin Israel.

Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud menafikan rundingan seperti itu berlaku. PM Netanyahu tidak mengesahkan mahupun menafikan laporan tersebut.

Sejak September, pentadbiran Encik Trump telah mengaturkan perjanjian dengan Bahrain, Amiriah Arab Bersatu dan Sudan untuk membentuk hubungan rasmi dengan Israel. Sebuah rombongan Israel melakukan lawatan ke Sudan pada Isnin.

Walaupun pegawai Rumah Putih berkata lebih banyak negara sedang mempertimbangkan untuk menyambung hubungan dengan Israel, perkembangan selanjutnya tidak mungkin berlaku sebelum bakal Presiden Joe Biden mengambil alih jawatan pada 20 Januari dan menetapkan dasar pentadbirannya berhubung Iran.

Encik Biden telah berkata bahawa beliau akan menyertai semula perjanjian nuklear yang ditandatangani oleh kuasa-kuasa dunia dengan Iran jika negara itu terlebih dahulu mematuhi perjanjian itu, dan akan bekerjasama dengan negara-negara sekutu untuk memperkukuh syarat-syaratnya.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan