Netanyahu sahkan bakal tanding semula jawatan PM Israel pada 2026
Benjamin Netanyahu, mengesahkan beliau akan sekali lagi bertanding bagi jawatan Perdana Menteri Israel dalam pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada November 2026 - dan yakin akan meraih kemenangan.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bercakap semasa sidang media di pejabat Perdana Menteri di Baitulmakdis, pada 10 Ogos 2025. (Gambar fail: AP/Abir Sultan/Pool)
Dalam satu temu bual eksklusif di saluran kanan konservatif Channel 14, Encik Netanyahu ketika ditanya sama ada beliau berhasrat mempertahankan jawatan itu menjawab dengan ringkas: “Ya.”
Ditanya lanjut sama ada beliau menjangka untuk menang, pemimpin berpengalaman itu menegaskan sekali lagi: “Ya.”
Menurut laporan Astro Awani, Encik Netanyahu yang juga ketua parti Likud, parti utama blok kanan Israel, kini memegang rekod sebagai Perdana Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Israel - lebih 18 tahun secara keseluruhan sejak 1996, dengan beberapa tempoh pentadbiran berselang, lapor Astro Awani.
Dalam pilihan raya terakhir, parti Likud pimpinan Netanyahu memenangi 32 kerusi di Knesset (Parlimen Israel), disokong oleh sekutu ultra-Ortodoks dengan 18 kerusi, serta gabungan Religious Zionism yang memperoleh 14 kerusi - pencapaian tertinggi bagi blok kanan radikal.
Penggal semasa pentadbiran Encik Netanyahu bermula dengan rancangan kontroversi untuk merombak sistem kehakiman, yang mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh negara selama berbulan-bulan dengan puluhan ribu rakyat Israel turun ke jalanan hampir setiap hari.
Sejak tercetusnya perang akibat serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober 2023, Encik Netanyahu turut berdepan kritikan semakin hebat, khususnya daripada keluarga tebusan yang menuduh beliau gagal menguruskan krisis peperangan dan rundingan pembebasan tahanan dengan berkesan, lapor Astro Awani.
Walaupun berdepan tekanan dalaman dan cabaran politik yang semakin meningkat, Encik Netanyahu menegaskan, beliau masih mendapat sokongan akar umbi dan kekal yakin akan meneruskan kepimpinannya selepas pilihan raya akan datang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.