Netanyahu harap dapat bawa pulang tebusan dalam masa beberapa hari
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata pada Sabtu (4 Okt) beliau berharap dapat membawa pulang para tebusan yang masih ditahan Hamas dalam masa beberapa hari lagi, sedang para perunding ke Kaherah bagi membincangkan usaha untuk menamatkan perang yang sudah berlanjutan hampir dua tahun di Gaza.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berjabat tangan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, selepas sidang media di Rumah Putih, Washington, pada 29 September 2025. (Gambar: AP/Alex Brandon)
This audio is generated by an AI tool.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi amaran beliau “tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kelewatan” daripada kumpulan Hamas, selepas kumpulan itu memberi maklum balas positif kepada pelan damai Gaza yang diusulkannya.
Walaupun Encik Trump menggesa Israel supaya menghentikan serangannya menyusuli kenyataan Hamas, serangan tetap diteruskan pada Sabtu dengan sekurang-kurangnya 57 orang dilaporkan terbunuh sejak awal pagi, menurut agensi pertahanan awam Gaza.
TRUMP GESA PERJANJIAN SEGERA DICAPAI
Encik Netanyahu mendakwa "tekanan ketenteraan dan diplomatik" bantu memaksa Hamas supaya bersetuju untuk membebaskan para tebusan.
"Saya harap dalam masa beberapa hari akan datang kami dapat membawa pulang semua tebusan ... semasa sambutan perayaan Sukkot," katanya, merujuk kepada sambutan perayaan Yahudi yang bermula pada Isnin.
Beliau berkata pihak perunding Israel sedang melakukan perjalanan ke Mesir "bagi memuktamadkan butiran teknikal", dengan Kaherah mengesahkan ia akan menyambut delegasi Hamas bagi rundingan mengenai "keadaan di lapangan dan butiran pertukaran semua tahanan Israel dengan banduan Palestin" di bawah usulan Encik Trump.
Rumah Putih menyatakan Encik Trump menghantarkan dua utusan khas — menantunya, Jared Kushner, dan perunding kanan Asia Barat, Steve Witkoff — ke Mesir bagi menyertai rundingan berkenaan.
Hamas pada Jumaat malam mengumumkan bahawa pihaknya “meluluskan pembebasan semua tebusan — yang masih hidup atau sebaliknya — berdasarkan formula pertukaran yang tertera dalam usulan Presiden Trump.”
Encik Trump menyifatkan langkah itu sebagai tanda kumpulan tersebut “bersedia untuk KEAMANAN berkekalan” dan menggesa Israel supaya “bertindak pantas atau keadaan menjadi sukar untuk ditentukan."
Encik Netanyahu menegaskan bahawa “Hamas akan dilucutkan senjata — sama ada secara diplomatik melalui pelan Trump atau secara ketenteraan oleh kami.”
Beribu-ribu orang berhimpun di Tel Aviv pada Sabtu malam, menyeru kedua-dua pihak supaya mencapai perjanjian.
Pada hari yang sama, Encik Trump berkata Israel sudah bersetuju dengan “garis pengunduran awal” bagi Gaza, yang turut dikongsi dengan Hamas.
Beliau menambah bahawa “apabila Hamas mengesahkannya,” satu gencatan senjata akan berkuat kuasa dengan “serta-merta,” sekali gus memulakan proses pertukaran tahanan dan pengunduran Israel secara berperingkat dari wilayah itu.
SERANGAN DI GAZA MASIH BERTERUSAN
Walaupun Encik Trump menggesa Israel supaya henti membedil Gaza, serangan udara Israel terus dilancarkan di seluruh wilayah itu.
“Jumlah korban akibat pengeboman Israel sejak awal pagi kini mencecah 57 orang, termasuk 40 di Gaza City sahaja,” kata jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas.
Menurut para saksi, serangan udara, tembakan meriam dan dron masih berterusan di sekitar Gaza City, di mana tentera Israel mengekalkan operasi besar-besarannya.
Mahmud al-Ghazi, penduduk di kawasan kejiranan Al-Rimal, berkata: “Sebenarnya Israel meningkatkan serangan sejak gesaan Trump untuk berhenti seketika. Siapa yang akan hentikan Israel sekarang?”
Tentera Israel turut memberi amaran kepada para penduduk supaya tidak kembali ke Gaza City, menyifatkannya sebagai “sangat berbahaya.” Media Israel melaporkan bahawa pihak tentera kini beralih kepada kedudukan pertahanan, namun pihak tentera tidak mengesahkan perkara itu.
PELAN PASCA PERANG UNTUK GAZA
Seorang pegawai Hamas berkata Mesir akan menjadi tuan rumah kepada satu persidangan yang menghimpunkan pelbagai puak Palestin bagi membincangkan masa depan Gaza selepas perang.
Di bawah usulan Encik Trump, Hamas dan puak-puak lain “tidak akan memainkan sebarang peranan dalam pentadbiran Gaza.” Pelan itu merangkumi gencatan senjata, pembebasan tebusan dalam tempoh 72 jam, pengunduran tentera Israel secara berperingkat, pelucutan senjata Hamas serta pembentukan badan peralihan teknokratik yang diketuai oleh Encik Trump.
“Perkara terbaik ialah Presiden Trump sendiri yang mengumumkan gencatan senjata, dan Netanyahu tidak akan dapat mengelak kali ini,” kata Sami Adas, penduduk Gaza City yang kini menetap di sebuah khemah bersama keluarganya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.