Netanyahu gesa Palang Merah Antarabangsa bantu tebusan, sedang makin ramai penduduk Gaza mati kebuluran
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata pada Ahad (3 Ogos) beliau sudah bercakap dengan ketua rantau Palang Merah Antarabangsa, Julien Lerisson dan memohon penglibatannya untuk menyediakan bekalan makanan dan rawatan perubatan kepada para tebusan yang ditahan di Gaza.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berucap semasa ‘Persidangan Kristian’ di Baitulmakdis, pada 27 Julai 2025. (Gambar: REUTERS/Ronen Zvulun)
Menurut pihak berkuasa Israel, 50 tebusan Israel kini masih berada di Gaza dengan hanya 20 orang dipercayai masih hidup.
Pada Sabtu (2 Ogos), Hamas menyiarkan video kedua dalam tempoh dua hari yang memaparkan tebusan dari Israel, Evyatar David.
Dalam video itu, Encik David yang kelihatan dalam keadaan sangat kurus, dilihat sedang menggali lubang yang menurutnya adalah lubang kuburnya sendiri.
Hamas menyatakan pihaknya bersedia bekerjasama dengan Palang Merah bagi menyalurkan bantuan kepada tebusan yang ditahan di Gaza.
Namun ini sekiranya Israel membuka laluan kemanusiaan secara kekal dan menghentikan serangan udara semasa pengagihan bantuan dijalankan.
Video yang memaparkan Encik David itu menerima kecaman daripada kuasa Barat dan mengejutkan rakyat Israel.
Perancis, Jerman, Britain dan Amerika Syarikat antara negara yang meluahkan perasaan marah, manakala Kementerian Luar Israel mengumumkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan sesi khas pada pagi Selasa (5 Ogos) berhubung isu keadaan tebusan di Gaza.
ENAM LAGI MAUT AKIBAT KEKURANGAN MAKANAN
Sementara itu, enam lagi individu di Gaza meninggal dunia akibat kebuluran atau kekurangan zat makanan dalam tempoh 24 jam lalu, menurut kementerian kesihatannya pada Ahad.
Kematian terbaharu itu menjadikan jumlah korban akibat apa yang digambarkan agensi kemanusiaan antarabangsa sebagai kebuluran yang sedang melanda kepada 175 orang – termasuk 93 kanak-kanak – sejak perang bermula, menurut kementerian itu.
Israel pada hujung minggu lalu menyatakan ia sudah membenarkan penghantaran bahan api ke wilayah itu, yang sedang berdepan krisis kemanusiaan selepas hampir dua tahun peperangan.
Stesen televisyen Mesir yang mempunyai kaitan dengan pemerintah, Al Qahera News TV, melaporkan dua lori membawa 107,000 diesel dijangka memasuki Gaza, beberapa bulan selepas Israel menghadkan akses bantuan ke wilayah itu sebelum melonggarkannya sedikit apabila kebuluran mula merebak.
COGAT, agensi tentera Israel yang menyelaraskan bantuan, kemudian memaklumkan bahawa empat tangki bahan api milik PBB sudah memasuki Gaza bagi menyokong operasi hospital, kedai roti, dapur awam dan perkhidmatan penting yang lain.
Tiada pengesahan segera sama ada dua lori diesel dari Mesir itu sudah memasuki Gaza.
Kementerian Kesihatan Gaza sebelum ini menyatakan bahawa kekurangan bahan api menjejaskan perkhidmatan hospital secara serius, memaksa para doktor untuk hanya merawat pesakit yang berada dalam keadaan kritikal atau cedera parah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.