Skip to main content

Dunia

Netanyahu dijangka pertahan tindakan Israel, kritik Datuk Bandar New York dalam ucapan PBB

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dijangka menggunakan ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis (24 Sep) untuk mempertahankan tindakan Israel dan membidas pengkritiknya, termasuk Datuk Bandar New York Zohran Mamdani.

Anggaran Waktu Membaca:
Netanyahu dijangka pertahan tindakan Israel, kritik Datuk Bandar New York dalam ucapan PBB

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berucap dalam satu acara anjuran parti Likud di Tel Aviv, Israel, pada 17 September 2026. (Gambar fail: REUTERS/Amir Cohen)

Diterbitkan : 24 Sep 2026 02:38PM
  • Benjamin Netanyahu dijangka menggunakan ucapan PBB di New York pada 24 September untuk mempertahankan Israel dan membalas kritikan Zohran Mamdani.
  • Pertikaian tercetus selepas Mamdani menuduh Netanyahu sebagai penjenayah perang, namun beliau kemudian mengakui tiada kuasa menangkapnya di New York.
  • Menjelang pilihan raya Israel 27 Oktober, Michael Oren menjangka ucapan itu bernada kempen, ketika Netanyahu dikritik kerana perang Gaza.
  • Lawatan Netanyahu dijangka singkat tanpa pertemuan dengan Donald Trump, sementara Israel terus berdepan waran ICC, sekatan Barat dan tekanan antarabangsa.
Dijana oleh AI
TEL AVIV: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dijangka menggunakan ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis (24 Sep) untuk mempertahankan tindakan Israel dan membidas pengkritiknya, termasuk Datuk Bandar New York Zohran Mamdani.

Pertikaian antara kedua-dua pemimpin itu tercetus selepas Encik Mamdani menyifatkan Encik Netanyahu sebagai penjenayah perang dan sebelum ini berkempen dengan janji untuk menangkap pemimpin Israel itu atas dakwaan jenayah perang sekiranya beliau berkunjung ke New York.

Encik Mamdani kemudian menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk berbuat demikian.

Minggu ini, Encik Mamdani turut menyifatkan Encik Netanyahu sebagai "arkitek pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan terhadap rakyat Palestin".

Encik Netanyahu menolak dakwaan jenayah perang terhadapnya.

Dalam satu kenyataan video minggu ini, Encik Netanyahu berkata beliau akan ke New York untuk "menyampaikan kebenaran" mengenai askar Israel dan Encik Mamdani.

Beliau turut menuduh Encik Mamdani menyokong Hamas. Reuters melaporkan tuduhan itu tidak benar.

Lawatan itu merupakan kunjungan pertama Encik Netanyahu ke New York sejak Encik Mamdani memegang jawatan pada Januari.

Rakyat Israel yang menentang pemerintah Encik Netanyahu juga merancang untuk mengadakan bantahan di New York.

UCAPAN JELANG PILIHAN RAYA ISRAEL

Ucapan Encik Netanyahu berlangsung sekitar lima minggu sebelum pilihan raya Israel pada 27 Oktober.

Bekas Duta Israel Michael Oren berpandangan Encik Netanyahu bukan sekadar berucap kepada PBB tetapi juga menyasarkan rakyat Israel.

Beliau menjangkakan ucapan itu akan menyerupai "ucapan kempen", dengan Encik Netanyahu berkemungkinan membangkitkan isu Iran serta mengkritik Encik Mamdani.

Tinjauan pendapat menjelang pilihan raya menunjukkan Encik Netanyahu berdepan persaingan sengit sedang pemerintahannya menerima kritikan berhubung perang di Carikan Gaza.

TIADA PERTEMUAN DENGAN TRUMP DIJANGKA

Encik Netanyahu dijangka melakukan lawatan singkat ke Amerika Syarikat.

Beliau dijangka tiba awal Khamis sebelum pulang pada hari yang sama selepas menyampaikan ucapannya pada sebelah petang.

Dua pegawai Israel yang enggan dinamakan berkata pasukan Encik Netanyahu sedang membincangkan kemungkinan mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan Amerika, termasuk Setiausaha Negara Marco Rubio, namun tiada pertemuan sudah ditetapkan.

Encik Netanyahu juga tidak dijangka bertemu Presiden Amerika Donald Trump.

Hubungan kedua-dua pemimpin itu berdepan perbezaan pendirian selepas Amerika dan Iran mencapai gencatan senjata sementara yang ditentang Encik Netanyahu.

ISRAEL BERDEPAN KRITIKAN ANTARABANGSA

Israel berdepan kritikan antarabangsa yang semakin meningkat berhubung perang di Carikan Gaza.

Encik Netanyahu juga tertakluk kepada waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang dikeluarkan pada 2024 berhubung dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Awal bulan ini, Britain, Perancis dan Kanada turut mengumumkan sekatan yang menyasarkan penempatan Israel di Tebing Barat.

Penganalisis menjangkakan Encik Netanyahu akan menggunakan ucapannya untuk mempertahankan Israel, membidas pengkritiknya dan memberi amaran mengenai Iran.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita