Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Netanyahu dapat mandat bentuk pemerintah baru Israel

Bekas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mendapat mandat untuk membentuk pemerintah seterusnya, membuka laluan bagi pakatan sayap kanan untuk mentadbir pemerintah.

Anggaran Waktu Membaca:
Netanyahu dapat mandat bentuk pemerintah baru Israel

Bekas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. (Gambar: RONALDO SCHEMIDT / AFP)

Diterbitkan : 14 Nov 2022 09:09AM Dikemas Kini : 14 Nov 2022 09:09AM
BAITULMAKDIS: Bekas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mendapat mandat untuk membentuk pemerintah seterusnya, membuka laluan bagi pakatan sayap kanan untuk mentadbir pemerintah.

Ia berikutan pilihan 1 November lalu, yang memberi Netanyahu serta sekutu sayap kanannya majoriti jelas dalam parlimen 120 kerusi.

Presiden Israel, Isaac Herzog, dalam satu majlis di Baitulmakdis mengumumkan, Netanyahu dipertanggungjawabkan untuk membentuk pemerintah.

"Selepas berunding dengan pemimpin parti, hasilnya jelas, tugas untuk membentuk pemerintah harus diserahkan kepada Netanyahu," katanya.

Menerima mandat itu, ahli politik sayap kanan berusia 73 tahun yang lebih dikenali sebagai "Bibi" berikrar untuk berkhidmat kepada semua rakyat Israel, "mereka yang mengundi kami dan mereka yang tidak -- ia adalah tanggungjawab saya".

Netanyahu yang sedang menghadapi perbicaraan berhubung dakwaan rasuah, diberi masa sekurang-kurangnya 28 hari untuk membentuk gabungan dengan sekutunya -- dua parti Yahudi ultra-Ortodoks dan pakatan ekstrem kanan dipanggil Religious Zionism.

Pemimpin kanan parti itu secara terbuka menuntut diberi dua kementerian penting -- keselamatan awam dan pertahanan -- ketika keganasan Israel-Palestin meningkat.

Tindakan Netanyahu seterusnya akan diawasi dengan teliti, dengan sesetengah pihak kurang senang mengenai rancangan dasarnya dan matlamat sekutunya yang kontroversil.

Mengenai perbicaraan Netanyahu di mahkamah, Presiden Herzog berkata: "Bukannya saya tidak sedar, sudah tentu saya tahu ada prosiding undang-undang diteruskan terhadap Netanyahu di Mahkamah Daerah Baitulmakdis dan saya tidak memperkecilkan perkara ini sama sekali".

Bagaimanapun, katanya, ada fakta kes sebelum ini yang menyatakan Netanyahu boleh berkhidmat sebagai perdana menteri dan pada masa sama membela dirinya terhadap tuduhan tersebut.
Sumber : AFP/SU/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa