Netanyahu dakwa akan ‘berkata benar’ di PBB tentang tindakan Israel
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berucap semasa acara meraikan majlis yang dianjurkan oleh parti Likud beliau di Tel Aviv, Israel, pada 17 September 2026. (Gambar fail: Reuters/Amir Cohen)
- Benjamin Netanyahu berkata beliau akan menggunakan ucapan PBB pada Khamis untuk mempertahankan operasi Israel terhadap Palestin dan membalas tuduhan Datuk Bandar New York Zohran Mamdani.
- Mamdani sebelum itu memberitahu CNN bahawa Netanyahu ialah penjenayah perang dan arkitek pembunuhan beramai-ramai, namun menolak dakwaan bahawa kritikannya terhadap Israel bersifat anti-Yahudi.
- Netanyahu menuduh Mamdani menyokong Hamas dan menghasut rusuhan terhadap warga Yahudi New York, ketika sebahagian Republican turut mengkritik pendirian pro-Palestin beliau.
- Artikel turut memaparkan latar konflik: serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 membunuh sekitar 1,200 orang, manakala serangan balas Israel di Gaza dilaporkan mengorbankan lebih 73,000 Palestin.
Kenyataan Encik Netanyahu dibuat sebagai respons kepada kenyataan Datuk Bandar New York itu kepada CNN pada Isnin bahawa Encik Netanyahu ialah “penjenayah perang dan arkitek pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan terhadap rakyat Palestin”.
Encik Netanyahu dijadual berucap di Perhimpunan Agung PBB pada Khamis.
“Saya akan datang ke PBB,” kata Encik Netanyahu dalam kenyataan video ringkas. “Saya akan berkata benar tentang askar kami yang berani, dan saya akan berkata benar tentang kamu (Mamdani).”
Encik Mamdani sebelum ini berkata beliau akan meberkas Encik Netanyahu, namun mengakui beliau tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
“Malu kamu, Encik Mamdani,” kata Encik Netanyahu. “Malu kamu kerana menyokong raksasa pengganas Hamas yang menyembelih rakyat kami. Malu kamu kerana menghasut rusuhan terhadap warga Yahudi New York.”
Sebahagian daripada pihak Republican yang menentang Encik Mamdani menuduh beliau bersikap anti-Yahudi, dengan merujuk kepada pendiriannya yang menyokong rakyat Palestin dan kritikannya terhadap tindakan ketenteraan Israel di Gaza.
Encik Mamdani mengutuk anti-Yahudi. Beliau berkata kritikannya terhadap Israel secara tidak wajar disamakan dengan fahaman anti Yahudi.
Serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 membunuh sekitar 1,200 orang, manakala 251 lagi diculik, menurut pihak berkuasa Israel.
Israel bertindak balas dengan serangan udara dan darat yang menurut negara itu bertujuan melumpuhkan keupayaan ketenteraan dan pemerintahan Hamas. Lebih 73,000 rakyat Palestin terbunuh, menurut pegawai kesihatan Gaza, dengan angka itu tidak membezakan antara anggota militan dengan orang awam.
Israel menafikan pihaknya melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza, dengan menyatakan ia memerangi anggota Hamas dan menuduh kumpulan itu bersembunyi di sebalik orang awam.
Minggu lalu, jurucakap Encik Netanyahu, Doron Spielman berkata kepada Reuters bahawa Encik Netanyahu sudah berucap di PBB lebih banyak kali berbanding mana-mana pemimpin dunia lain, “dan beliau akan menggunakan platform itu untuk menyampaikan kebenaran dalam forum negara-negara yang sering menerima naratif palsu mengenai Israel”.
“Ini merupakan antara pentas paling penting untuk Perdana Menteri Israel berdiri dan menyampaikan kebenaran kepada dunia. Itulah matlamat kami. Beliau tidak gentar dengan sesiapa pun. Beliau tidak gentar dengan Datuk Bandar Mamdani,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.