Netanyahu arah tentera laksanakan operasi di Tebing Barat susuli letupan bas
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengarahkan tentera untuk melaksanakan operasi "intensif" di Tebing Barat berikutan letupan beberapa bas berhampiran Tel Aviv pada Khamis (20 Feb).

Polis Israel memeriksa lokasi salah satu daripada tiga letupan bas yang dikatakan kelihatan seperti serangan militan pada 20 Februari 2025. (Gambar: AP/Ohad Zwigenberg)
Tiada kecederaan dilaporkan.
Polis Israel sebelum ini menyatakan terdapat tiga letupan bas di dua kawasan pinggir bandar Tel Aviv dan empat peranti letupan ditemui. Media tempatan melaporkan letupan bas, yang kesemuanya kosong, berlaku di depoh.
Letupan ini mengingatkan kepada serangan bom bas yang dahsyat di Israel, yang menjadi ciri pemberontakan Palestin pada 2000-an, walaupun serangan seperti itu kini jarang berlaku.
Pihak tentera menyatakan dalam satu kenyataan bahawa mereka sedang membantu polis dan agensi perisikan Shin Bet dalam siasatan. Polis turut menyatakan mereka sedang mencari suspek dan menasihatkan orang ramai agar terus berwaspada.
Tiada tuntutan bertanggungjawab segera terhadap letupan itu. Encik Netanyahu bertemu dengan menteri pertahanan, ketua tentera, ketua Shin Bet, dan pesuruhjaya polis selepas letupan itu, menurut pejabatnya. Jurucakap polis berkata bahawa peranti letupan buatan sendiri dengan pengira masa dikenal pasti dan pengangkutan awam diperiksa bagi sebarang peranti lain.
Satu video yang diterbitkan media tempatan menunjukkan apa yang kelihatan seperti bas terbakar di depoh dan gambar bas yang hangus terbakar.
Pihak tentera menyatakan ia akan memperhebat operasi bagi melawan keganasan di Tebing Barat dan telah menyekat laluan masuk di beberapa kawasan, tanpa menyatakan di mana. Tentera Israel menjalankan operasi ketenteraan besar-besaran di Tebing Barat sepanjang bulan lalu yang dikatakan bagi menyasarkan kumpulan militan.
Puluhan ribu rakyat Palestin terpaksa meninggalkan rumah mereka di kem-kem pelarian Tebing Barat, sementara rumah dan prasarana dirobohkan.
Letupan bas berlaku di tengah-tengah gencatan senjata yang rapuh di Gaza antara kumpulan Hamas dan Israel selepas 16 bulan peperangan. Hamas pada Khamis memulangkan mayat empat tebusan.
Gencatan senjata sudah bertahan sejak ia dilaksanakan pada 19 Januari meskipun terdapat tuduhan pelanggaran antara Israel dan Hamas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.