Nepal tidak perlukan bantuan asing bagi operasi mencari, menyelamat mangsa banjir
Nepal tidak memerlukan bantuan negara lain buat masa ini untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat susulan banjir kilat dahsyat yang memusnahkan beberapa kawasan, menurut Kementerian Ehwal Luar negara itu pada Jumaat (28 Ogos).
Anggota penyelamat membantu beberapa wanita meredah jalan berlumpur menyusuli banjir kilat dan tanah runtuh di Trishuli, daerah Nuwakot, Nepal, pada 28 Ogos 2026. (Gambar: Reuters/Navesh Chitrakar)
- Pemerintah Nepal menolak tawaran bantuan luar untuk operasi mencari dan menyelamat selepas banjir kilat yang melanda beberapa kawasan pada akhir Ogos.
- Keputusan ini dibuat kerana agensi keselamatan Nepal yakin mampu mengendalikan operasi sendiri, berdasarkan pengalaman semasa gempa bumi 2015 yang menyukarkan koordinasi dengan pasukan asing.
- Kementerian Ehwal Luar Nepal menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan untuk membantu warga asing yang terjejas, hilang atau memerlukan bantuan konsular akibat bencana di daerah Rasuwa.
- Banjir yang berpunca daripada runtuhan glasier menyebabkan ratusan korban dan hampir 1,000 orang, termasuk ramai warga asing, masih hilang di kawasan pergunungan Himalaya berhampiran Tibet.
"Tawaran bantuan itu sesuatu yang lumrah. Agensi keselamatan kami sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat. Buat masa ini, kami tidak memerlukan bantuan sedemikian," kata jurucakap kementerian luar Nepal, Lok Bahadur Chhetri.
Pemerintah Nepal menerima permintaan secara rasmi dan tidak rasmi daripada beberapa negara dan pertubuhan yang menawarkan untuk menghantar pasukan mencari dan menyelamat masing-masing, menurut seorang pegawai kanan kementerian luar Nepal yang dipetik akhbar The Kathmandu Post.
Antara negara yang menawarkan untuk menghantar pasukan masing-masing ialah India, China, Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Korea Selatan, Sri Lanka dan Bangladesh.
Pemerintah Nepal bagaimanapun menyatakan agensi keselamatannya sendiri mampu mengendalikan operasi tersebut.
Menurut The Kathmandu Post, keputusan itu dibuat berdasarkan pengalaman Nepal ketika gempa bumi pada 2015, apabila kemasukan sejumlah besar pasukan mencari dan menyelamat asing menimbulkan masalah besar dari segi penyelarasan dan pengurusan.
Keputusan tersebut dibuat atas saranan pihak tentera dan polis Nepal.
PASUKAN TINDAK BALAS KECEMASAN BANTU WARGA ASING
Sementara itu, Kementerian Ehwal Luar Nepal menubuhkan sebuah Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) untuk membantu warga asing yang terjejas akibat banjir di daerah Rasuwa.
ERT akan bertindak sebagai badan penyelaras utama pihak kementerian bagi memudahkan usaha mencari dan menyelamat, pengesahan maklumat serta bantuan konsular untuk warga asing yang terjejas, hilang atau mempunyai kaitan dengan kejadian banjir itu.
Langkah tersebut diambil sedang angka korban di Nepal meningkat kepada 469 orang pada Jumaat (28 Ogos).
Hampir 1,000 lagi masih hilang di Nepal dan Tibet, berhampiran lokasi runtuhan glasier pada pagi Rabu (26 Ogos) yang mencetuskan aliran besar batu, ais, lumpur dan serpihan melalui sistem sungai di pergunungan Himalaya.
BERITA Mediacorp sebelum ini melaporkan Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan bencana itu berpunca daripada runtuhan glasier yang mencetuskan aliran besar serpihan ais.
BACA:
Laluan itu turut popular dalam kalangan pendaki dan penganut agama yang melakukan ziarah.
Sekurang-kurangnya 540 daripada mereka yang masih hilang merupakan warga asing.
Antara warga asing yang masih tidak dapat dihubungi ialah rakyat Australia, Britain, Malaysia, Belanda, Portugal, Afrika Selatan dan Korea Selatan, menurut lembaga pelancongan Nepal.
BERITA Mediacorp sebelum ini melaporkan bahawa rakyat Singapura turut berada dalam kalangan mereka yang hilang susulan bencana tersebut.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.