Nepal mahu bangunkan semula sistem amaran awal di sempadan China susuli banjir maut: Sumber
Nepal merancang untuk membangunkan semula sistem amaran awal bagi kejadian tanah runtuh di sebahagian kawasan sempadannya dengan China, dengan memasang sensor seismik, kamera dan sambungan satelit, menurut dua sumber pemerintah Nepal kepada Reuters, seminggu selepas banjir akibat runtuhan glasier meragut lebih 1,000 nyawa.
Anggota tentera Nepal menjalankan operasi mencari dan menyelamat di luar sebuah terowong berhampiran tapak projek hidroelektrik, menyusuli kejadian banjir kilat dan tanah runtuh yang membawa maut di daerah Rasuwa, Nepal, dalam gambar edaran yang diperoleh Reuters pada 2 September 2026. (Gambar: Tentera Nepal/Edaran menerusi REUTERS)
Peralatan tersebut sedang dipasang di Timure, sebuah kawasan penempatan sempadan di daerah Rasuwa, Nepal, yang terletak di laluan sungai yang sama di sepanjang sempadan dengan China, di mana runtuhan glasier mencetuskan arus deras lumpur, air dan bongkah batu yang melanda lembah-lembah pergunungan.
Sekurang-kurangnya 1,114 orang terkorban di kedua-dua negara, dengan sebahagian besar korban dicatatkan di Nepal. Hampir 4,000 lagi masih hilang.
Kawasan sempadan di mana peralatan tersebut akan dipasang terletak di salah satu bahagian paling sensitif di sempadan Nepal dengan wilayah Tibet di China. Kawasan tanah tinggi tersebut dipantau rapi oleh Kathmandu, Beijing dan New Delhi.
Nepal belum mengumumkan rancangan tersebut secara rasmi. Kedua-dua sumber tersebut bercakap dengan syarat identiti mereka dirahsiakan kerana tidak diberi kuasa untuk membincangkan perkara itu.
Para pegawai berkata terdapat keperluan mendesak untuk bertindak.
"Keadaan muka bumi sedang mengalami perubahan selepas kejadian besar itu, jadi [ia] boleh mencetuskan beberapa lagi kejadian tanah runtuh," kata salah satu sumber.
TINJAUAN MENERUSI HELIKOPTER
Antara komponen utama rancangan itu ialah sistem satelit yang dikenali sebagai Terminal Bukaan Sangat Kecil (VSAT), yang bertujuan memastikan pusat pemantauan terus terhubung meskipun rangkaian mudah alih terputus. Ini membolehkan ancaman baharu dikesan dan amaran dikeluarkan dengan segera, menurut kedua-dua sumber.
Gangguan sedemikian berlaku apabila banjir pada minggu lalu menyebabkan sekurang-kurangnya empat stesen pengukur berhampiran sempadan terputus hubungan.
"Kami mempunyai sensor dan stesen pemantauan, tetapi ia tidak dipantau secara menyeluruh," kata sumber itu berhubung sistem amaran awal sebelum ini, yang menghantar mesej setiap beberapa minit tetapi dihanyutkan banjir pada Rabu.
"Oleh sebab kami tidak menyedarinya, kami tidak dapat memeriksanya apabila ia gagal berfungsi."
Buat masa ini, kamera, sensor dan VSAT akan dipasang di satu lokasi oleh Penguasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Nasional Nepal (NDRRMA), sebelum lebih banyak peralatan dipasang di lokasi lain, kata sumber kedua. Beliau menambah bahawa para pegawai sudah meninjau kawasan tersebut menggunakan helikopter untuk menilai lokasi pemasangan.
Seorang jurucakap NDRRMA tidak segera menjawab emel dan mesej Reuters untuk mendapatkan komen.
Menteri Luar China dan kedutaan negara tersebut yang berada di Nepal juga tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.
Sejak bencana tersebut berlaku, China menyatakan bahawa imej kawasan terjejas, data satelit dan hidrologi serta maklumat amaran awal berhubung tasik-tasik empangan semula jadi di kawasan hulu sudah dikongsikan dengan Nepal.
HANYA BEBERAPA MINIT UNTUK BERTINDAK
Ancaman segera daripada dua tasik empangan semula jadi berhampiran sempadan, yang terbentuk selepas runtuhan glasier, sudah reda selepas airnya mengalir keluar. Namun, keadaan muka bumi masih tidak stabil dan terus dipantau rapi, menurut satu sumber.
Sistem amaran awal bagi sebarang kejadian yang dicetuskan tanah runtuh hanya akan memberi pihak berkuasa tempoh beberapa minit untuk memberi amaran kepada masyarakat di kawasan hilir berhubung kemungkinan satu lagi kejadian banjir. Meskipun singkat, tempoh tersebut masih boleh memainkan peranan yang sangat penting.
Banjir pada minggu lalu melanda sebuah pusat pemeriksaan di sempadan pada pukul 8.32 pagi, tetapi amaran kepada orang ramai hanya dikeluarkan pada pukul 9.13 pagi, menurut laporan Reuters.
Dalam beberapa bulan sebelum bencana tersebut, Nepal sudah menggesa China supaya berkongsi data lebih terperinci dan dalam masa nyata mengenai pergerakan glasier serta paras air. Para pegawai Nepal kini merancang untuk memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.