Skip to main content

Dunia

Nepal keluarkan amaran risiko banjir kilat berulang; angka korban meningkat kepada 750

Anggaran Waktu Membaca:
Nepal keluarkan amaran risiko banjir kilat berulang; angka korban meningkat kepada 750

Amaran terbaharu itu dikeluarkan selepas pihak berkuasa China memaklumkan kepada rakan sejawatannya di Nepal mengenai peningkatan mendadak aliran air dari kawasan hulu sungai di dataran tinggi Tibet. (Gambar fail: AP)

Diterbitkan : 30 Aug 2026 03:18PM Dikemas Kini : 31 Aug 2026 09:58AM
  • Pihak berkuasa Nepal mengeluarkan amaran kecemasan banjir kilat pada 30 Ogos selepas paras air Sungai Bhotekoshi meningkat mendadak.
  • Penduduk di kawasan terjejas diminta bersiap siaga, dengan notis amaran dihantar ke telefon bimbit mereka sepanjang pagi.
  • Banjir kilat di sempadan Nepal-Tibet telah menyebabkan 750 korban dan sekitar 3,000 orang masih hilang, dengan operasi menyelamat masih diteruskan.
  • Kemusnahan infrastruktur utama seperti jambatan dan bekalan elektrik menjejaskan masyarakat pergunungan, manakala pasukan penyelamat giat membersihkan runtuhan di Lebuhraya Prithvi.
Dijana oleh AI
KATHMANDU: Pihak berkuasa Nepal mengeluarkan amaran kecemasan berhubung risiko banjir kilat berulang pada Ahad (30 Ogos) menyusuli peningkatan paras air di lembangan Sungai Bhotekoshi, lapor Independent.

Penduduk di daerah yang terjejas digesa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi selepas notis amaran awal dihantar terus ke telefon bimbit mereka sepanjang pagi Ahad.

Amaran terbaharu itu dikeluarkan selepas pihak berkuasa China memaklumkan kepada rakan sejawatannya di Nepal mengenai peningkatan mendadak aliran air dari kawasan hulu sungai di dataran tinggi Tibet.

Angka korban akibat bencana banjir kilat di sempadan Nepal dan Tibet kini meningkat kepada 750 orang, manakala operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengesan sekitar 3,000 individu yang dilaporkan hilang.

Penguasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMA) Nepal menyatakan angka korban di negara itu meningkat kepada 734 orang dengan 2,498 lagi masih hilang, manakala pihak berkuasa China melaporkan 16 kematian dan 546 orang masih hilang di Tibet.

Kemusnahan besar terhadap prasarana utama termasuk jambatan konkrit dan jambatan gantung menyebabkan banyak masyarakat pergunungan terputus hubungan, selain sistem bekalan elektrik tempatan yang masih lumpuh.

Sementara itu, pasukan penyelamat dan aset ketenteraan giat menjalankan operasi pembersihan runtuhan tanah di Lebuhraya Prithvi, yang merupakan laluan logistik utama untuk bekalan makanan dan bahan api ke Lembah Kathmandu.
Sumber : Agensi berita/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita