Skip to main content

Dunia

Nepal adakan upacara simbolik bagi mangsa hilang, PM beri amaran risiko perubahan iklim

Keluarga di Nepal mengadakan upacara pengebumian simbolik untuk insan tersayang yang masih hilang sejak banjir kilat membawa maut menghanyutkan kampung dan kediaman mereka di wilayah Himalaya seminggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Nepal adakan upacara simbolik bagi mangsa hilang, PM beri amaran risiko perubahan iklim

Seorang wanita yang anak lelakinya masih hilang berada di sisi gambar individu yang hilang di luar Hospital Pengajar Universiti Tribhuvan, menyusuli banjir kilat dan tanah runtuh di Kathmandu, Nepal, pada 1 Sep 2026. (Gambar fail: Reuters/Monika Malla)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 03:32PM
NUWAKOT, Nepal: Keluarga di Nepal mengadakan upacara pengebumian simbolik untuk insan tersayang yang masih hilang sejak banjir kilat membawa maut menghanyutkan kampung dan kediaman mereka di wilayah Himalaya seminggu lalu.

Pasukan kecemasan sudah menemukan lebih 1,000 mayat, manakala hampir 4,500 orang masih hilang selepas gelombang besar air sejuk, batu dan puing yang dicetuskan oleh keruntuhan glasier di kawasan altitud tinggi melanda sempadan China-Nepal pada 26 Ogos 2026.

Selepas berhari-hari mencari di pusat perlindungan dan rumah mayat, saudara-mara sesetengah mangsa yang hilang mula berputus asa dan menjalankan upacara terakhir.

"Kami terpaksa melakukan ini untuk membebaskan rohnya, supaya dia tenang dan bahagia di mana sahaja dia berada," kata Cik Dolma Newar Tamang ketika mengadakan upacara pengebumian untuk suaminya.

Suaminya sedang dalam perjalanan ke China ketika bencana itu berlaku.

"Saya melihat berita dan menghubunginya. Saya menelefonnya berkali-kali, tetapi dia tidak pernah menjawab," katanya kepada AFP.

Seminggu selepas bencana besar itu, pasukan penyelamat Nepal masih berharap dapat menemukan mangsa yang terselamat, khususnya di beberapa terowong loji hidroelektrik di seluruh wilayah tersebut.

Setakat ini, pasukan penyelamat hanya menemukan mayat dari terowong yang tersumbat lumpur. Namun, operasi menggali, menggerudi dan meletupkan puing diteruskan dengan harapan dapat menemukan para mangsa yang masih hidup.

Menteri Luar Nepal Shisir Khanal berkata beliau masih berharap sebahagian daripada ribuan individu yang hilang mungkin masih hidup.

"Keajaiban boleh berlaku. Pada ketika ini, saya tidak mahu berputus asa sepenuhnya," katanya.

RISIKO IKLIM DI HIMALAYA MENINGKAT

Perdana Menteri Nepal Balendra Shah berkata bencana itu merupakan "petunjuk serius bahawa risiko yang kita hadapi di wilayah Himalaya semakin meningkat seiring dengan perubahan iklim".

"Perubahan iklim merupakan sumbangan global dan tindak balas terhadap bencana juga merupakan tanggungjawab global," katanya menerusi catatan Facebook.

Para saintis berkata Himalaya, banjaran gunung tertinggi di dunia, semakin panas dengan pesat apabila suhu global meningkat, sekali gus mempercepat pencairan glasier.

Glasier di banjaran Himalaya dan Hindu Kush merupakan sumber air penting bagi sekitar 240 juta penduduk di kawasan pergunungan, selain 1.65 bilion lagi yang tinggal di lembah sungai Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Kemarahan semakin meningkat terhadap skala kemusnahan di Nepal, sebuah negara yang sebahagian besarnya terdiri daripada kawasan luar bandar dengan penduduk sekitar 30 juta orang.

Nepal hanya menyumbang sebahagian kecil kepada pelepasan gas rumah hijau yang mendorong pemanasan global, namun merupakan antara negara yang menanggung kesannya.

Kathmandu memberi amaran bahawa kos pembinaan semula boleh mencecah "berbilion-bilion dolar".

Ekonomi Nepal juga sudah berdepan tekanan, dengan sumber terhad untuk menangani bencana pada skala sebesar itu.

Media pemerintah China melaporkan akses jalan raya ke Pelabuhan Gyirong di Tibet, yang terjejas teruk, hanya berjaya dipulihkan pada Rabu (2 Sep) selepas kerja-kerja pembaikan dijalankan tanpa henti selama beberapa hari.

RATUSAN MAYAT TIDAK DIKENALI DIKEBUMIKAN

Dengan rumah mayat di Nepal sudah penuh, pihak berkuasa terpaksa mengebumikan ratusan mayat yang tidak dikenal pasti selepas sampel DNA diambil.

Nepal menyatakan 1,050 mayat ditemukan setakat Selasa, manakala 3,916 orang masih hilang.

Media pemerintah China pula melaporkan 16 orang terkorban dan 546 lagi hilang.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang dilaporkan terkorban seramai 1,066 orang, manakala 4,462 lagi masih hilang.

Sekurang-kurangnya 17 mayat turut ditemukan dari sungai di kawasan hilir di India.

Di China, wartawan asing dikenakan sekatan untuk membuat liputan di Tibet dan pihak berkuasa China mengawal ketat sumber maklumat mengenai wilayah tersebut.

Kumpulan penyokong Tibet dalam buangan mempersoalkan laporan China mengenai bencana itu, namun Beijing menegaskan bahawa "penyampaian maklumat dilakukan secara terbuka, telus dan tepat pada masanya".
Sumber : AFP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita