Nenek tergamak tikam, sumbat cucu sendiri dalam ketuhar
Seorang bayi perempuan yang baru berusia 20 bulan, ditemui maut dalam ketuhar di rumahnya.
Royalty Floyd dipercayai dibunuh neneknya sendiri. (Gambar: GoFundMe)
BOLIVAR: Seorang bayi perempuan yang baru berusia 20 bulan, ditemui maut dalam ketuhar di rumahnya.
Bayi tersebut dipercayai ditikam neneknya sendiri sebelum 'dibakar' dalam ketuhar. Seorang ahli keluarga menemui mayatnya pada lewat petang.
Media tempatan melaporkan bayi comel itu bernama Royalty Floyd. Neneknya, Carolyn Jones, 48 tahun, sudah diberkas atas tuduhan membunuh.
Pembunuhan mengerikan itu berlaku di Bolivar County, Mississippi.
Polis belum dapat mengesahkan sama ada bayi itu sudah meninggal dunia ataupun belum ketika disumbatkan ke dalam ketuhar.
Pegawai polis tempatan, Encik Kevin Williams, memberitahu agensi berita WREG: "Siasatan sedang dijalankan. Yang pasti, mangsa ditikam dan dibakar.
"Keadilan mesti ditegakkan. Sepanjang kerjaya saya selama hampir 26 tahun, kes ini merupakan yang paling kejam pernah saya saksikan."
Ibu bayi berkenaan, Veronica Jones, membuka satu laman GoFundMe untuk mengumpul dana bagi pengebumian anaknya.
"Anak saya seharusnya berusia 21 bulan pada 17 Oktober 2018. Dia seorang yang sangat cantik dan saya menyayanginya lebih daripada segalanya di dunia ini," tulis Cik Veronica.
Jiran tetangga turut menyatakan mereka seakan-akan tidak boleh percaya berita tersebut.
"Ia membuat semua orang terperanjat," kata jiran, Encik Earlean Carter.
"Saya ingatkan rumah itu kosong. Saya tidak tahu ada yang tinggal di dalamnya," tambah beliau kepada The Sun.
Seorang lagi jiran, Encik Wesley Nichols, menambah: "Mengapa tergamak melakukan perkara sedemikian ke atas seorang anak kecil? Mereka tidak berdosa."
Media tempatan difahamkan bayi itu tinggal bersama neneknya dalam rumah tersebut. Motif pembunuhan masih belum diketahui.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.