Nenek maut ketika cucu tamat pengajian; 2 cedera susuli serangan New Orleans
(Gambar: FOX8)
NEW ORLEANS: Seorang wanita lanjut usia yang sedang meraikan kejayaan cucunya menamatkan pengajiannya mati ditembak dan dua lelaki lain pula turut cedera di sebuah kolej di New Orleans pada Selasa (31 Mei), menurut pihak berkuasa dan laporan media tempatan.
Tembakan meletus semasa berlaku pertengkaran di tempat letak kereta Xavier University of Louisiana, berdekatan pusat konvokesyen kolej tersebut di mana majlis penyampaian sijil bagi Sekolah Tinggi Morris Jeff sedang berlangsung, lapor WVUE, yang menukil sumber polis.
Usia dan nama wanita yang mati ditembak, yang setakat berada di tempat kejadian, tidak didedahkan.
Lagi dua lelaki ditembak di bahagian kaki dan bahu, meskipun kecederaan yang dialami tidak membahayakan nyawa mereka, kata Timbalan Superintenden Jabatan Polis New Orleans Christopher Goodly kepada media tempatan, Fox.
Tiga individu ditahan untuk disoal siasat, namun tiada dakwaan diumumkan setakat awal tengah hari Selasa (31 Mei).
Jabatan itu turut mengesahkan di Twitter bahawa pada sekitar 1.15 tengah hari, tiga orang ditembak dan sudah dibawa ke hospital.
Encik Goodly yang menyifatkan kejadian itu sebagai satu "tindakan keganasan yang tidak masuk akal" berkata ia bermula dengan pergaduhan antara dua wanita yang semakin memuncak apabila tembakan dilepaskan.
Para saksi memberitahu media tempatan bahawa pergaduhan itu berlaku selepas majlis penyampaian sijil dan mereka terdengar antara lima hingga 12 das tembakan.
Selepas kejadian itu, senjata api berkenaan ditemui di tempat letak kereta tersebut dan tingkap kereta SUV pecah ketika polis sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian, lapor Times-Picayune.
Seorang saksi yang identitinya tidak didedahkan memberitahu akhbar tersebut bahawa mereka terdengar sekitar 20 das tembakan.
Lagi seorang saksi yang menghadiri majlis berkenaan bagi anak saudaranya berkata beliau terdengar tembakan itu sekitar 10 minit selepas tamat majlis tersebut.
Wanita lanjut usia yang mati ditembak itu adalah nenek kepada seorang pelajar yang menerima sijil sewaktu majlis itu, kata seorang saksi kepada WDSU-TV, menurut Times-Picayune.
"Ini sepatutnya adalah satu detik yang menggembirakan dan ia sesuatu yang amat mendukacitakan bagi kami untuk melalui perkara sebegini. Ini sungguh memilukan," kata lagi seorang saksi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.